Utusan Borneo (Sarawak)

Bergerak aktif di seluruh Sarawak bermula dengan jerayawara di Skrang, Selangau, Ngemah, Krian dan Kapit

- Oleh Patricia Gari

KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh berkata, parti itu kini semakin kukuh sejak ditubuhkan pada 2014 yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Parti kita (PSB), saya mesti mengatakan kita semakin kukuh. Ketika ini PSB mempunyai 26 cawangan dengan puluhan ribu ahli di seluruh Sarawak.

“Kami menjangka akan menubuhkan lebih banyak lagi cabang dan hampir 10,000 ahli baharu bakal menyertai kami. Sambutan terhadap parti sangat memberangs­angkan terutama masyarakat Dayak di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurn­akan Majlis Pelancaran Papan Tanda PSB yang baharu di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata kini PSB bergerak aktif di seluruh Sarawak bermula dengan jerayawara di Engkilili, Selangau, Ngemah, Krian dan Kapit.

Beliau berkata parti itu kini merancang melakukan jerayawara ke Marudi, Baram, Samalaju dan Mambong.

“Jadi banyak cabang (parti) akan ditubuhkan sebagai contoh di Ngemah, Krian dan sebagainya. Cabang-cabang ini telah dan perlu menubuhkan jawatankua­sa protem sebelum parti boleh mengemukak­an permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk diluluskan.

Parti kita (PSB), saya mesti mengatakan kita semakin kukuh. Ketika ini PSB mempunyai 26 cawangan dengan puluhan ribu ahli di seluruh Sarawak.

Dato Sri Wong Soon Koh Presiden PSB

“Dalam tempoh akan datang mungkin kita akan mempunyai sekitar 40 cabang, kita belum tahu kerana orang terus menyertai PSB,” ujarnya.

Mengenai status PSB, Wong berkata ia akan terus memberi sokongan kepada pucuk kepimpinan Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terutama usaha mentransfo­rmasikan Sarawak menjadi negeri maju.

“Saya mesti mengatakan PSB setia kepada pucuk kepimpinan negeri, Datuk Patinggi Abang Johari. Kami akan memberi sokongan penuh kepada usahanya mentranfor­masikan Sarawak menjadi negeri maju khususnya dalam program transforma­si luar bandar.

“Kami adalah prokerajaa­n negeri atau apa sahaja yang anda kata (mesra GPS),” ujarnya.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan berkata PSB masih belum menentukan sama ada parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau sebaliknya.

“Oh...kami belum tahu lagi. Kami perlu melihat bagaimana reaksi di peringkat akar umbi,” katanya.

Pada 22 Februari tahun ini, ROS meluluskan permohonan parti itu untuk menukar nama daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) kepada PBS serta mengguna logo baharu.

“Kami telah mengemukak­an permohonan kepada ROS pada 10 Disember 2018 untuk menjenamak­an semula parti. Ia adalah cadangan semasa persidanga­n delegasi kedua berlangsun­g 7 Julai 2018.

“Cadangan itu telah diluluskan pada persidanga­n delegasi khas dan hari ini kita melancarka­n secara rasmi logo ini di ibu pejabat parti.

“PSB kini lebih meluas, tidak lagi sempit seperti UPP sebelum ini, lebih kepada luar bandar tetapi kekal berkhidmat kepada semua komuniti tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan sebagainya,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Presiden PSB yang juga ADUN Mambong Dr Jerip Susil, Ketua Pemuda PSB (ADUN Engkilili) Dr Johnical Rayong Ngipa, Naib Presiden Kanan (ADUN Opar) Datuk Ranum Mina, Setiausaha Agung PSB George Lo dan Penasihat PSB Dr Chou Chu Ming.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia