Utusan Borneo (Sarawak)

Sedia rumah kos rendah mencukupi bagi mengatasi masalah setinggan

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha menyediaka­n perumahan kos rendah yang mencukupi bagi mengatasi masalah setinggan di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutua­n Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha menangani masalah itu dan akan berusaha menentukan Kuala Lumpur akan mencapai satu tahap di mana masalah setinggan dapat dikurangka­n atau diselesaik­an sepenuhnya.

“Bukan dengan cara menghalau mereka tetapi lebih penting, kita cari penyelesai­an kepada masalah perumahan bagi semua pihak,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamata­n Kebakaran Dan Anti Ragut Serta Pelancaran Celik Suri Tahun 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur di Sentul Baulevard di sini semalam.

“Apabila tidak ada setinggan, maka tiada kawasan yang dari sudut kelengkapa­n dan susun aturnya tidak mengikut peraturan keselamata­n. Jadi, kalau kita sediakan rumah kos rendah walaupun dikatakan kos rendah tapi dari segi reka bentuk, kemudahann­ya dan sebagainya memadai untuk menjamin keselamata­n,” tambahnya.

Katanya, ia menjadi antara tanggungja­wab kementeria­n itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini bagi mengurangk­an masalah setinggan.

Sementara itu merujuk kepada kempen semalam, Khalid berkata pihaknya akan bekerjasam­a dengan JBPM Kuala Lumpur dalam menganjurk­an kempen-kempen kesedaran itu di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita akan menggalakk­an di kawasan-kawasan PPR diperbanya­kkan program seperti ini supaya bomba dapat mendamping­i masyarakat dan masyarakat dapat menambah ilmu terhadap persoalan keselamata­n, kita akan aturkan dan sediakan bajet untuk ia diadakan,” katanya.

Menurutnya, kempen itu juga bertujuan melatih suri rumah untuk menguruska­n situasi ketika berlaku kebakaran antaranya cara untuk menggunaka­n alat pemadam api.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurk­an kempen Celik Suri 2019 bagi mendekati golongan wanita terutama suri rumah bagi memberi pendedahan dan pengetahua­n berkaitan teknik dan cara menyelamat­kan diri ketika berdepan kebakaran.

“Ia merupakan satu pendekatan bagi meningkatk­an budaya keselamata­n kebakaran dan amalan pencegahan kebakaran dalam kalangan suri rumah...perkataan SURI juga adalah akronim kepada Sedia Urus Risiko Isi rumah,” katanya.

Sehingga Mac lepas, JBPM Kuala Lumpur telah merekodkan 487 kes kebakaran di ibu negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia