Utusan Borneo (Sarawak)

Tenis: Kejuaraan Piala Fed dalam senarai semak Halep

-

PARIS, Perancis: Impian Simona Halep untuk memenangi kejuaraan sulung Piala Fed selepas memenangi kejuaraan sulung Grand Slam di Terbuka Perancis, masih seimbang selepas Romania dan Perancis menamatkan hari pertama perlawanan separuh akhir dengan terikat 1-1 Sabtu lepas.

Halep, pemain ranking kedua dunia wanita, mudah menewaskan Kristina Mladenovic 6-3 dan 6-1 di bandar raya di utara Perancis, Rouen, di mana sekitar 1,000 penyokong Romania hadir di kalangan sejumlah besar penyokong tempatan.

Pemain nombor satu Perancis, Caroline Garcia, yang berada pada ranking ke-21 dunia, mengikat kedudukan apabila menewaskan Mihaela Buzarnescu 6-3 dan 6-3.

“Saya sudah memenangi kejohanan Grand Slam, sudah menduduki ranking nombor satu dan sekarang adalah sasaran seterusnya (kejuaraan Piala Fed),” kata Halep selepas kemenangan kelapan berturut-turut beliau pada acara perseorang­an kejohanan ini, di mana kali terakhir Romania melangkah ke final ialah pada 1973.

“Ia sukar untuk mengawal emosi saya tetapi di sini, ada ramai penyokong Romania dan saya berasa seperti bermain di tanahair sendiri.

“Mereka juga lebih meriah dari penyokong tuan rumah dan tenaga yang mereka berikan adalah luar biasa sekali.”

Kapten Perancis, Julien Benneteau, mengambil pertaruhan dengan menurunkan Mladenovic, yang menduduki 10 ranking teratas dunia pad 2017 tetapi hanya menang 24 dari 70 perlawanan terakhir untuk tercicir di tangga ke-66.

Mladenovic hanya menang tiga dari lima pertemuan menentang Halep tetapi Sabtu lepas, beliau bergelut dengan pukulan servis dan tidak mempunyai sebarang rentak untuk menentang Halep.

Garcia kemudian memenangi perlawanan perseorang­an ketiga berturut-turut sejak kembali menyertai pasukan ekoran dua tahun mengasingk­an diri selepas tidak sehaluan dengan rakan sepasukann­ya.

Buzarnescu kini gagal memenangi sebarang perlawanan perseorang­an dalam Piala Fed sejak tujuh tahun.

Pada perlawanan separuh akhir kedua di Brisbane, Australia dan Belarus juga terikat 1-1 selepas Ashleigh Barty menewaskan Victoria Azarenka. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? SEMANGAT KESUKANAN: Mladenovic (kiri) berjabat dengan Halep selepas perlawanan separuh akhir di antara Perancis dan Romania di Perancis.
— Gambar Reuters SEMANGAT KESUKANAN: Mladenovic (kiri) berjabat dengan Halep selepas perlawanan separuh akhir di antara Perancis dan Romania di Perancis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia