Utusan Borneo (Sarawak)

Negara Bisu dengan Bahasa

- Oleh Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong

“ADA soalan?” Tuan pengerusi forum mengulangi pertanyaan kepada hadirin yang hadir. Seorang gadis yang mempunyai rupa paras yang mulus dengan rambut mengurai hingga ke paras bahu tampil menghampir­i pembesar suara. Semua mata memusat ke arah gadis tersebut. Kelihatann­ya gadis itu tidak gentar walaupun banyak mata memandang ke arahnya.

“Silakan cik bertanyaka­n soalan?” Pelawa tuan pengerusi forum kepada gadis tersebut. Gadis itu hanya mengangguk. Mungkin dia faham kehendak tuan pengerusi forum tersebut.

“Saya mahu bertanya beberapa soalan kepada Tuan Akmal. Moga tuan sudi menjawab soalan-soalan saya sebelum saya duduk semula.” Tuan pengerusi forum terjongol dengan permintaan gadis tersebut. Dia memandang Akmal.

“Bagaimana tuan? Mahu dituruti kemahuan gadis tersebut?” Bisik tuan pengerusi forum kepada Akmal.

“Baiklah saya akan jawab soalan-soalannya.” Balas Akmal ringkas.

“Baiklah cik, tuan panel kita bersetuju dengan permintaan cik. Silakan soalansoal­annya.” Pelawa tuan pengerusi forum dengan nada yang lembut.

“Soalan pertama saya. Berapa buah negara, yang tuan sudah jejaki sehingga hari ini?”

“Terima kasih saudari atas soalan itu. Sehingga hari ini dan terbitnya buku kedua, saya sudah menjejaki hampir 40 buah negara di dunia, termasukla­h beberapa buah negara di rantau Balkan. Saya boleh berbangga dengan pencapaian peribadi saya setakat hari ini. Walaupun dengan bajet yang terhad, atas dorongan minat yang mendalam, Alhamdulil­lah. Saya berjaya mengejar impian saya. Saya ingin mengembara lagi jika diizinkan kesihatan dan kewangan. Jika ada yang sudi menaja. Saya amat mengalu-alukan.” Akmal tersengih dengan ayat terakhirny­a. Bukan niatnya untuk berkata sedemikian, tetapi dia terlepas mengungkap­kannya. Kelihatan tuan pengerusi forum juga turut tidak terlepas daripada menguntumk­an senyuman kepada Akmal. Dia faham dengan kata-kata Akmal hanya sekadar memancing hadirin dalam dewan tersebut. Kelihatan gadis itu berpuas hati dengan jawapan Akmal. Akmal menarik nafas lega apabila wajah gadis itu menerima jawapannya.

“Soalan kedua saya. Mengapa tuan memilih untuk mengembara seorang diri? Adakah tuan tidak takut dengan keselamata­n tuan ketika berada di negara orang?” Gadis itu tidak berganjak daripada pembesar suara. Dia memegang pembesar suara itu erat-erat sambil menunggu jawapan dengan penuh minat.

“Silakan tuan.” Tuan pengerusi forum mengalualu­kan jawapan kedua dari Akmal.

“Baiklah, saya suka dengan soalan kedua daripada saudari. Seperti yang katakan pada awal sesi forum kita tadi, minat mendalam mendorong saya untuk mencabar diri melakukan pengembara­an beberapa buah negara secara sendirian. Malah, saya juga amat mengagumi salah seorang daripada cendekiawa­n Islam, iaitu Ibnu Battutah. Sepanjang hayatnya, Ibnu Battutah telah melakukan pengembara­an hampir 120,000 kilometer perjalanan, iaitu tiga kali panjang perjalanan yang dilakukan oleh Marco Polo. Bertitik tolak daripada itu, terdetik dalam hati saya untuk mencabar diri menjelajah beberapa buah negara secara sendirian, seperti yang dilakukan oleh Ibnu Battutah.

Dalam soal keselamata­n, saya tidak dinafikan saya amat berhati-hati dalam soal ini. Oleh itu, sebelum saya bertandang ke sesebuah negara, saya menyelidik dahulu keadaan negara tersebut dari segenap sudut termasuk daripada segi keselamata­n. Kelebihan apabila mengembara ini adalah kita dapat melihat budaya, masyarakat, sistem politik negara berkenaan. Itu pandangan saya daripada perspektif seorang pengembara.” Akmal menamatkan hujahnya dengan ayat agak bersifat formal isinya.

“Tuan seorang anak muda yang hebat. Negara tuan bertuah mempunyai rakyat seperti tuan. Pada usia sebegitu muda, tuan sudah berjaya mengembara banyak negara. Pengalaman tuan juga luas barangkali. Saya berbesar hati menjemput tuan ke negara saya pula. Negara saya tidak kurang uniknya.

“Saudari dari negara mana? Saya ingin ke negara saudari jika berkesempa­tan.” Akmal tiba-tiba mencelah.

“Negara saya bukan benua ini. Negara saya terletak di sebuah benua yang sangat asing. Gadis itu umpama berkias dengan Akmal.

“Boleh saya tahu nama saudari, boleh kita bertukartu­kar maklumat, pasti menarik dalam pengembara­an saya kelak.” Jelas Akmal

“Nama saya Otomi, saya akan e-melkan kepada tuan maklumat tentang negara saya. Maklumat berkenaan negara saya amat sukar diperoleh dalam Internet. Jika tuan mencarinya, pasti tuan akan kecewa. Oleh itu, saya akan e-melkan kepada tuan kelak. Pasti tuan teruja untuk bertandang ke negara saya.” Otomi berlalu meninggalk­an pembesar suara tempatnya bertanya sebentar tadi. Tubuhnya hilang dalam sekelip mata. Akmal dapat mengecam rupa paras gadis itu. Kulitnya putih susu, rambutnya berwarna keperangpe­rangan hingga paras bahu, dan kolam matanya jernih. Sesiapa yang memandang pasti terpikat dengan Otomi. Gadis itu sudah berjanji akan menghubung­inya melalui e-mel yang tercatat pada kulit bukunya.

***

Akmal menerima e-mel daripada Otomi yang menyatakan hasrat untuk mengundang Akmal ke negaranya. Menurut mesej lewat e-mel tersebut, Otomi sudi menaja segala kos perjalanan dan penginapan Akmal sepanjang keberadaan Akmal di negaranya. Daripada perkenalan sulung dalam sesi forum tempoh hari, Akmal dan Otomi sering berbalas e-mel sehingga saat Akmal berangkat ke negara Otomi hari ini. Segala keperluan sudah siap dimuatkan ke dalam beg galasnya. Pasport, buku catatan, netbook untuk Akmal menulis segala pengalaman sepanjang di negara Otomi sudah dimuatkan ke dalam beg kecilnya.

Hari ini Akmal memulakan perjalanan ke negara Otomi yang unik dengan sebuah pesawat khas yang disewa oleh Otomi. Dalam hati Akmal, Otomi bukan gadis sembaranga­n. Dia orang berada. Dia mampu menyewakan sebuah pesawat khas untuk Akmal ke negaranya. Tetapi pertama kali Akmal bertemu Otomi dalam sesi forum tempoh hari, penampilan Otomi hanya biasa-biasa sahaja, seperti gadis seusia dengannya. Kata Otomi melalui e-melnya, Akmal akan disambut oleh seseorang di lapangan terbang. Sebuah teksi sudah sedia menunggu ketibaanny­a apabila mendarat kelak. Akmal akan dibawa ke hotel penginapan. Itu e-mel terakhir Otomi sebelum Akmal ke lapangan hari ini.

Setibanya Akmal di lapangan terbang, Akmal telah disambut oleh seorang lelaki berkaca mata hitam. Tiada senyum di wajahnya. Tiada sepatah perkataan yang terujar dari dua belah bibir lelaki tersebut. Akmal sekaliseka­la mencuba membuka gelanggang bicara dengannya, tetapi bicaranya tidak disambut.

Selepas melepasi pemeriksaa­n imigresen, Akmal dibawa ke sebuah lorong menuju ke pesawat. Akmal tidak menyangka Otomi sangat bersiap sedia untuk menyambut kehadirann­ya. Akmal melalui lorong itu dengan penuh rasa teruja. Tidak terlintas dalam benak fikirannya yang dia mendapat layanan bagai seorang putera raja. Selepas melepasi lorong itu, kelihatan sebuah pesawat sudah menungguny­a untuk berlepas. Seorang wanita yang merah bibirnya tidak lekang dengan senyum sudah menunggu Akmal di kaki tangga pesawat. Dengan senyuman yang begitu manis, Akmal disambut oleh wanita tersebut dan mengiringi­nya hingga dalam perut pesawat.

Beg galas Akmal dimuatkan ke dalam bahagian kargo. Pesawat itu penuh dengan hiasan-hiasan yang mewah dan eksklusif.

‘Otomi bukan calang-calang gadis, dia anak seorang hartawan di negaranya.’ Akmal berbisik dalam hatinya. Pesawat yang dilengkapi kemudahan Wi-Fi itu membolehka­n Akmal membuka komputer ribanya. Dia mahu membuka peti e-melnya sekiranya ada kiriman e-mel terbaharu daripada Otomi. Banyak persoalan yang bermain-main dalam fikirannya. Gadis itu terlalu misteri baginya. Sangkaan Akmal benar. Ada kiriman e-mel terbaru dari Otomi. Kali ini ringkas sahaja mesejnya.

“Semoga tuan menimba pengalaman baru dalam perjalanan kembara kali ini. Selamat menikmati perjalanan tuan.” Akmal tidak dapat membaca kesemua e-mel yang masuk ke dalam akaun e-melnya. Wanita berbibir merah tadi datang semula ke tempat duduknya dan mengarahka­nnya menutup komputer riba kerana pesawat sudah bersedia untuk berlepas. Tiada ujaran yang daripada wanita itu, hanya menggunaka­n bahasa isyarat.

Ini pertama kali Akmal menaiki pesawat bertaraf VVIP. Dia bebas untuk ke sana ke mari. Sekali-sekala dia terasa bagai seorang hartawan yang mempunyai pesawat peribadi. Apabila pesawat sudah berada tenang di udara. Akmal sekali lagi membuka komputer ribanya untuk membaca deretan e-mel baharu yang masuk ke dalam peti masuk e-melnya. Rata-rata e-mel yang diterima hanya berkenaan pesanan buku kembaranya yang terbaru. Akmal amat berharap ada e-mel dari Otomi. Jantungnya sentiasa berdegup kencang setiap kali peti e-melnya disapa oleh Otomi.

Hampir lapan jam penerbanga­n ke negara Otomi. Pesawat khas yang membawa Akmal semakin rendah meluncur ke landasan. Kelihatan muka bumi sekitar lapangan terbang menghijau dipenuhi tumbuh-tumbuhan seperti tanah airnya. Tidak lama kemudian, pesawat tadi selamat mendarat di lapangan terbang. Akmal tidak sabar memulakan pengembara­annya ke negara kelahiran Otomi. Pesawat yang membawa Akmal, meluncur perlahan keluar daripada landasan dan menuju ke arah parkir khas terminal. Kelihatan negara Otomi tidak kurang hebatnya, banyak pesawat komersial yang berlabuh di negara tersebut. Sekali lagi wanita berbibir merah itu mengiringi­nya turun dari pesawat. Senyumanny­a tidak pernah lekang dan berbahasa isyarat dengannya. Tiada sepatah ujaran daripada mereka. Lelaki berkaca mata hitam yang mengiringi­nya semasa di lapangan terbang tadi sekali lagi mengiringi­nya sehingga ke bangunan terminal.

Setelah urusan imigresen selesai, Akmal diiringi lelaki itu hingga ke luar terminal. Sebuah teksi berwarna kelabu dengan nombor plat LP0 dengan seorang lelaki separuh umur sedang berdiri di sisi kenderaan tersebut. Beg galasnya dimuatkan ke dalam teksi itu. Pintu bahagian belakang dibuka. Lelaki separuh umur itu sudah bersiap sedia membawa Akmal ke hotel penginapan­nya. Hanya bahasa isyarat digunakan. Akmal semakin bingung dengan situasi yang dihadapiny­a sekarang. Semua menggunaka­n bahasa isyarat untuk berhubung. Bukan seorang dua bertindak sedemikian, tetapi masyarakat negara ini sememangny­a tidak bercakap, berbual, atau berkata-kata. Mengapa Otomi menjemputn­ya datang ke mari. Persoalan pertama yang akan ditanya kepada Otomi apabila bertemu dengannya nanti.

Teksi yang ditempah oleh Otomi meluncur laju membelah lebuh raya. Akmal memerhatik­an setiap inci geografi muka bumi negara ini. Tiada yang pelik. Bandar rayanya berkembang maju, suasana pesat. Rakyatnya sama seperti kebanyakan negara-negara lain tetapi masyarakat­nya bisu. Komunikasi hanya menggunaka­n bahasa isyarat termasuk lelaki separuh umur yang membawanya ke hotel penginapan­nya ini.

Teksi itu berhenti di sebuah hotel yang agak mewah. Sebaik sahaja teksi itu berhenti di lobi hotel tersebut, pintu teksi yang dinaiki Akmal dibuka oleh seorang penyambut tetamu hotel. Pemandu teksi itu meninggalk­an Akmal di lobi hotel setelah beg galasnya diturunkan. Dia hanya menguntumk­an senyuman kepada Akmal tanpa sepatah ujaran yang keluar dari mulutnya.

Akmal menyerahka­n pasportnya kepada seorang wanita berambut perang dengan mata biru jernih di kaunter pendaftara­n masuk. Otomi sudah menempah bilik bertaraf VIP untuk Akmal. Sejurus itu, Akmal diiringi oleh penyambut tetamu tadi hingga ke muka pintu biliknya. Setelah begnya diletakkan dalam bilik, penyambut tetamu itu bergegas meninggalk­annya. Tiada seulas kata kedengaran di sekitar hotel terbabit melainkan bunyi deruman enjin kenderaan di sekitar bandar raya tersebut. Akmal tidak sabar untuk mengirimka­n e-mel kepada Otomi yang menyatakan dia sudah selamat sampai ke negaranya. Akmal buntu untuk berkomunik­asi dengan masyarakat negara ini. Semuanya bisu.

Di bilik penginapan­nya, Akmal segera membuka komputer riba dan mengirimka­n e-mel kepada Otomi. Otomi membalas kiriman e-mel Akmal mengatakan dia akan datang di hotel penginapan­nya pada sebelah malamnya. Akmal merebahkan badannya di atas tilam bilik hotel tersebut. Fikirannya masih berlegarle­gar berkenaan rakyat negara ini. Inilah sebuah negara yang begitu pelik yang pernah dijumpainy­a dan Otomi memperkena­lkan negara ini kepadanya. Bukan seorang dua rakyat negara ini bisu tetapi semua penduduk negara ini bisu. Akmal berasakan seolah-olah dia berada di sebuah negara atas kayangan.

Tepat jam 8.00 malam sebuah kereta mewah meluncur di perkaranga­n hotel penginapan Akmal. Seorang lelaki membuka pintu belakang kenderaan. Kelihatan sorang gadis yang pernah dilihatnya sebelum ini. “Tuan Akmal.”

“Ya.”

“Otomi.”

“Ya, saya Otomi, yang berhubung dengan tuan melalui e-mel selama ini.” Akmal sedikit tergagap apabila berbicara dengan gadis yang berada di hadapannya sekarang. Dalam sesi forum tempoh hari Akmal begitu lincah berkata-kata. Hari ini segala kelincahan kata-katanya bagai terkunci apabila berhadapan dengan seorang gadis bernama Otomi tersebut.

“Mari tuan, saya bawa tuan untuk makan malam bersempena meraikan kehadiran tuan ke negara saya. Tentu banyak persoalan yang bermain di fikiran tuan sekarang.” Otomi bagai dapat membaca fikiran Akmal.

“Dengan kereta itu?” Soal Akmal.

“Ya ... tuan tidak sudi, saya boleh cari kenderaan yang lain.” Pintas Otomi.

“Bukan ... bukan. Mari.” Akmal terkulum dengan katakatany­a sendiri.

Akmal dibawa oleh Otomi ke sebuah restoran yang indah. Tetapi keadaan restoran itu senyap sunyi. Walaupun pelanggan restoran itu ramai, mereka tidak bercakap. Mereka hanya menggunaka­n bahasa isyarat untuk berkomunik­asi semasa mereka. Akmal memerhatik­an gelagat setiap pelanggan di restoran tersebut. Baginya, ia satu pengalaman yang menarik dan unik. Sebuah negara yang pendudukny­a maju tetapi bisu dengan bahasa.

“Saya membuat tempahan meja khas untuk kita berdua.” Kata Otomi.

“Tetapi ini bukan tempat saya. Saya hanya seorang pelajar universiti yang tidak berduit.” Balas Akmal.

“Tapi tuan layak untuk menerimany­a.” “Sebab?” Soal Akmal. “Sebab tuan seorang pengembara.”

“Kaitannya?” Akmal tidak berpuas hati dengan alasan Otomi.

“Mari, hidangan sudah tersedia.” Otomi memintas pertanyaan Akmal. Akmal sekali lagi terkunci dengan kata-kata Otomi.

“Pasti tuan banyak perkara yang ingin dibualkan bersama-sama saya malam ini bukan? Jemput makan tuan.” Otomi meminta pelayan restoran tersebut menghidang­kan makanan kepada Akmal. Akmal kekok dalam keadaan yang dialami sekarang. Dia diraikan bagai seorang putera raja oleh seorang puteri daripada kayangan.

“Negara saudari seperti negara saya, penduduk, ekonomi, geografi, tidak ubah seperti negara saya. Ia hampir 100 peratus sama. Adakah itu satu kebetulan?”

“Mungkin ia satu kebetulan. Tetapi tidak 100 peratus sama bukan?” Kata Otomi bersahaja.

“Ya, tidak 100 peratus sama. Maaf saya bertanya soalan ini. Mungkin ia bersifat sensitif.”

“Tidak mengapa silakan.” Otomi menguntumk­an senyuman manisnya kepada Akmal.

“Semua penduduk negara ini menggunaka­n bahasa isyarat untuk berhubung. Adakah mereka bisu atau satu kebetulan atau bencana.” Otomi menguntumk­an lagi senyuman kepada Akmal sambil menikmati hidangan di hadapannya.

Otomi meletakan semula sudu dan garpu di sisi pinggannya. “Sebab itu saya pelawa tuan untuk datang ke mari.” Kata Otomi dengan melirik senyuman manja.

“Maksud saudari? Jangan terlalu berkias dengan saya. Saya bukan orang sastera yang mudah memahami maksud kiasan.”

“Tuan sentiasa bercerita pengalaman tuan mengembara. Kemudian tuan menulisnya dalam bentuk buku bukan. Benar begitu? Nah ... sekarang tuan berada di sebuah tempat yang unik dan banyak perkara baharu untuk tulis.”

“Adakah saudari menyindir saya kerana saya menulis buku berkenaan pengembara­an?”

“Tidak, tuan jangan salah faham dengan maksud saya. Saya hanya melontarka­n cadangan. Jika tuan menerimany­a.”

“Boleh ... nanti orang kata saya gila kerana menulis sebuah negara pendudukny­a bisu.”

“Ini bukan sesuatu yang gila tuan, tetapi ia benar-benar berlaku.” Pintas Otomi tegas.

“Jika benar semua penduduk negara ini bisu. Mengapa mereka jadi begitu?” Akmal tidak puas hati dengan hujah Otomi.

“Sebab penduduk negara ini terkena sumpahan.” Pintas Otomi segera.

“Sumpahan?” Akmal terkejut. Dahinya berkerut.

“Ya, sumpahan bahasa sehingga semua penduduk negara ini tidak dapat menuturkan bahasa ibunda mereka sendiri. Sehingga hari ini sumpahan itu masih menghantui penduduk negara ini. Saya sedih generasi muda negara ini tidak tahu bahasa ibunda mereka disebabkan sumpahan itu.” Otomi menundukka­n wajahnya.

“Sumpahan bahasa? Maaf persoalan itu membuatkan saudari sedih. Saya tidak faham dengan maksud saudari, boleh saudari jelaskan kepada saya?”

“Negara ini suatu ketika dahulu mempunyai sebuah pemerintah­an yang adil, makmur dan berjaya membina ketamaduna­n yang tinggi. Negara ini suatu ketika dahulu bukan sahaja maju dalam bidang ekonomi dengan ciptaan-ciptaan yang baharu. Malah turut mempunyai sebilangan tokoh ilmuwan yang mahir dalam pelbagai bidang. Atas kecekapan dan kebijaksan­aan di pemerintah­an bawah Duli Tuanku Komoski, negara ini telah berjaya dimajukan dari segenap sudut. Khazanah persuratan sastera juga tidak kurang hebatnya. Kejayaan negara di bawah pemerintah­an Tuanku Komoski tidak disenangi oleh salah seorang daripada pembesar negara, iaitu Onoski. Dia berhasrat untuk meruntuhka­n sistem pemerintah­an beraja dan bercita-cita untuk menjadikan dirinya pemerintah negara. Onoski sentiasa mencari peluang untuk menjadikan negara ini huru-hara.

Apabila negara mengalami musim kemarau yang panjang, banyak tanaman tidak menjadi, sungai-sungai mulai kering, haiwan mati kebuluran. Bekalan makanan negara semakin berkuranga­n, ramai rakyat yang mati disebabkan kekurangan makanan. Golongan kaya menjual makanan kepada orang miskin dengan harga yang tinggi. Mereka mengambil kesempatan menambah kekayaan dengan menekan golongan miskin. Jurang ekonomi semakin ketara. Golongan kaya bertambah kaya. Manakala, golongan miskin semakin melarat.

Onoski mengambil peluang ini dengan menghasut rakyat dan memfitnah tuanku dengan mengatakan bencana melanda negara disebabkan balasan Tuhan kepada pemerintah negara yang tidak amanah, mengamalka­n rasuah, dan mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat. Ramai rakyat yang termakan fitnah Onoski, tidak kurang juga ada rakyat yang masih menyokong pemerintah­an tuanku. Negara ketika itu, berada di ambang perang saudara kerana rakyat berpecah menyokong Onoski dan pemerintah­an tuanku. Pemerintah­an beraja berjaya ditumbangk­an oleh Onoski apabila beliau meminta bantuan Jenderal Resnu untuk menyerang negara ini seterusnya menumbangk­an pemerintah­an beraja. Tuanku berjaya ditangkap dan dihukum gantung. Sebelum Tuanku menghembus­kan nafas terakhir, tuanku telah bersumpah bahawa segala tuduhan Onoski adalah fitnah dan bersumpah rakyat yang menyokong Onoski menjadi bisu selama tujuh keturunan setelah kematian tuanku.

Sumpahan tuanku benarbenar berlaku. Setelah tuanku menghembus­kan nafas terakhir, rakyat negara ini telah ditimpa musibah apabila setiap bayi yang dilahirkan telah menjadi bisu. Sehingga hari ini sumpahan itu belum lagi berakhir. Kami anak cucu telah mendapat kesannya. Negara ini semakin kehilangan bahasa yang pernah membina ketamaduna­n yang cukup gemilang suatu ketika dahulu.” Otomi menundukka­n wajahnya.

“Amat sukar untuk menerima cerita saudari, tetapi saya perlu menerimany­a kerana ia benar-benar berlaku di hadapan saya sekarang. Saya simpati dengan bahasa yang menimpa negara ini. Boleh saya bertanya kepada saudari?”

“Boleh?” “Mengapa saudari tidak terkena sumpah itu, maksud saya mengapa saudari tidak bisu seperti orang lain di negara ini?” Otomi tersenyum dengan pertanyaan Akmal tersebut.

“Kerana saya adalah keturunan diraja yang digulingka­n oleh Onoski.” “Benar?”

“Ya”

“Maaf patik tuanku.” Akmal tidak menyangka yang di hadapannya itu ialah seorang puteri raja.

“Tidak perlu, kerana keturunan saya tidak lagi mempunyai kuasa sebagai pemerintah negara ini. Saya sudah menjadi orang biasa seperti tuan.” Jelas Otomi.

Selepas menikmati makan malam bersama Otomi, Akmal mencatatka­n segala pengalaman­nya di negara ini. Walaupun amat sukar untuk dirinya memahami dan mempercaya­inya, hakikatnya perkara itu memang terjadi. Bencana bahasa yang berlaku di negara Otomi tidak terkecuali suatu hari ini akan berlaku di negaranya kelak. Akmal bingung untuk memberikan tajuk artikel yang ditulisnya. Secawan kopi sudah habis dinikmati, tetapi tajuk artikel ini masih belum menjelma di benak fikirannya. ‘Mungkin “Negara Bisu dengan Bahasa” sesuai dijadikan tajuk.’ getus hati Akmal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia