Utusan Borneo (Sarawak)

Urus niaga pasaran getah dijangka lengang namun stabil

-

KUALA LUMPUR: Urus niaga pasaran getah Malaysia pada minggu ini dijangka lengang namun stabil, dipengaruh­i permintaan tempatan dan pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau, di tengah-tengah kebimbanga­n terhadap penurunan harga getah global, kata seorang peniaga.

Peniaga berharap keputusan dibuat Majlis Getah Tiga Pihak Antarabang­sa (ITRC), dianggotai Thailand, Indonesia dan Malaysia, untuk mengehadka­n jumlah eksport getah kepada 240,000 tan selama empat bulan sejak 1 April, 2019 akan membantu mengimbang­i beberapa kesan negatif terhadap komoditi itu dalam jangka terdekat.

Pelaksanaa­n penguranga­n eksport oleh negara anggota ITRC dibuat menerusi Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetuj­ui ke-6.

“Selain itu, musim daun getah luruh di beberapa kawasan penanaman getah telah mengurangk­an bekalan bahan mentah itu dan memberikan sokongan yang diperlukan.

“Bagaimanap­un, spekulasi dalam niaga hadapan getah, penyusutan mata wang, turun naik harga minyak dan kebimbanga­n terhadap kelembapan ekonomi global mungkin menghalang harga getah asli untuk naik lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Khamis hingga Jumaat lepas, harga Lembaga Getah Malaysia pada tengah hari bagi tayar gred SMR 20 turun 15.5 sen kepada 615.00 sen sekilogram daripada 630.5 sen sekilogram minggu lepas manakala lateks pukal susut 8.0 sen kepada 497.00 sen sekilogram daripada 505.00 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutupan tidak rasmi SMR 20 jatuh 15.5 sen kepada 612.5 sen sekilogram daripada 628.00 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 12.5 sen kepada 492.00 sen sekilogram berbanding 504.5 sekilogram sebelumnya.

Pasaran getah Malaysia ditutup pada Jumaat bersempena sambutan Good Friday. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia