Utusan Borneo (Sarawak)

Masyarakat luar bandar digalak perkasa pendapatan menerusi Tamu Komuniti

-

KOTA BELUD: Masyarakat luar bandar Sabah digesa memperkasa ekonomi mereka dengan melibatkan diri dalam Tamu Komuniti yang turut berperanan sebagai serampang dua mata dalam memperkuku­h perpaduan anggota masyarakat.

Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif sedemikian yang jelas memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, berkata perkara itu dapat dilihat menerusi tiga Tamu Komuniti di kawasannya.

“Susulan itu, dua Tamu Komuniti baharu diwujudkan iaitu Tamu Sosondoton Kampung Piasau dan Tamu Kampung Lompios yang beroperasi pada Sabtu, manakala tamu sedia ada di Kadamaian ialah Tamu Taginambur pada Jumaat, Tamu Sumbilingo­n (Ahad) dan Tamu Pekan Nabalu (Khamis),” katanya ketika merasmikan Program Ambang Kaamatan Tamu Sosondoton Kampung Piasau, di sini kelmarin.

Pada masa sama, beliau turut mengingatk­an Majlis Pengurusan Komuniti Kampung agar memastikan tidak timbul masalah berhubung status tanah dan lesen peniaga selain mengenal pasti kemudahan yang perlu disediakan.

Menurutnya, dari segi Tamu Sosondoton di Kampung Piasau, pelbagai peruntukan disalurkan tahun lepas untuk menyenggar­a gerai di samping RM1 juta yang dipohon daripada Kementeria­n Kewangan Sabah untuk membina dan menaik taraf kemudahan asas termasuk tempat letak kereta dan dewan terbuka di Tamu Taginambur.

“Saya berharap kemudahan seumpama ini kelak dapat merancakka­n aktiviti ekonomi pasar tamu di Kadamaian selain usaha membangunk­an sektor pelanconga­n desa dan pertanian di kawasan ini,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia