Strawberi antara tanaman landskap BBP Kuala Nerang
bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, mencipta kelainan apabila menjadikan strawberi dan beberapa tanaman lain sebagai penghias landskap balai itu.
Ketua BBP Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata pada masa ini terdapat 300 pokok strawberi, yang ditanam di dalam pasu dan beg poli yang disusun di atas rak di belakang balai, selain beberapa batang pisang, kobis, terung dan serai yang ditanam di atas tanah.
“Kita ada pertandingan balai tercantik, dan kami memilih tanaman-tanaman ini kerana bukan sahaja dapat menceriakan landskap balai, tetapi dapat mengeluarkan hasil.
“Strawberi mula diusahakan sejak tiga bulan lalu dan baharu mula mengeluarkan sedikit buah, manakala tanaman lain diusahakan secara berperingkat sejak 2017, yang telah mengeluarkan hasil dan dijual kepada penduduk setempat sebagai sumber pendapatan balai,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Kuala Nerang, semalam.
Azahari berkata, kisah tanaman strawberi di balai itu pula menjadi tular sejak seminggu lalu, dan ia menyebabkan orang ramai berkunjung ke balai tersebut bagi melihat dan merasai buah itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata benih strawberi itu yang boleh ditanam dalam cuaca panas diperoleh daripada seorang guru, dan pihaknya mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap untuk mengusahakan tanaman itu, yang turut menyumbangkan baja dan racun.
“Alhamdulillah walaupun projek strawberi ini baru mengeluarkan hasil tidak seberapa, namun kami berpuas hati kerana usaha selama ini berhasil walaupun sibuk dengan tugasan hakiki memadam kebakaran dan kes-kes kecemasan,” katanya.
Selain itu, BBP Kuala Nerang turut memiliki 16 sarang kelulut dan memelihara 200 ekor ikan talapia di dalam kolam, dan balai itu turut dihiasi pokok-pokok bunga dan palma.
“Semua aktiviti di sini dijaga rapi dan setiap anggota ada jadual penjagaan bagi memastikan semua tanaman tumbuh subur, dan kita bercadang mengkomersialkan tanaman ini selepas ini, dengan cara fertigasi yang lebih efisien dan cekap,” kata Azahari.
Seorang pengunjung, Ibrahim Abdul Rahman, 62, berkata, usaha yang dilakukan BBP Kuala Nerang itu harus dicontohi kerana tanamantanaman tersebut bukan sahaja mampu menceriakan suasana, malah boleh menyumbang kepada pendapatan balai itu sendiri.
“Saya datang ke balai bomba ini dengan cucu, sebab dia ajak nak tengok strawberi dan dia rasa sangat seronok dapat makan sebiji buah segar dari pokok,” katanya. — Bernama