Utusan Borneo (Sarawak)

Pustaka Negeri Sarawak komited memartabat­kan budaya membaca

-

MIRI: Pustaka Negeri Sarawak amat komited untuk memartabat­kan budaya membaca dalam kalangan rakyat Sarawak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmat­an) Pustaka Negeri Sarawak Arpah Adenan berkata, sebagai sebuah institusi yang menjadi sumber maklumat bagi seluruh Sarawak, pelbagai program dan aktiviti dilaksanak­an bagi memastikan kesedaran serta penghayata­n budaya membaca dalam kalangan rakyat meningkat setiap hari.

“Di Pustaka Negeri Sarawak Miri sahaja, pada tahun lepas jumlah peminjaman buku telah meningkat kepada 114,346 daripada 82,100 pada 2017 manakala dari Januari sehingga Mac tahun ini, sebanyak 9,740 transaksi pinjaman bahan telah direkod.

“Selain itu, tahun 2018, sebanyak 291 aktiviti termasuk 92 aktiviti kanak-kanak diadakan dan disertai 41,863 peserta. Aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah bagi menggalakk­an tabiat membaca, perkongsia­n ilmu dan pembelajar­an sepanjang hayat,” katanya.

Arpah berkata demikian dalam ucapan pelancaran Program Reading Seeds Wilayah Utara Sarawak dan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Mengenai program itu, Arpah berkata Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit adalah salah satu inisiatif yang memerlukan kerjasama dengan para pemimpin masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, sekolah-sekolah, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat umum.

Katanya, ia mula diperkenal pada 2014 hasil inisiatif Majlis Pengarah-Pengarah Perpustaka­an Awam Se-Malaysia bertujuan membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat (10 minit) di samping sebagai tanda sokongan daripada perpustaka­an awam negeri bersama-sama kerajaan meningkatk­an tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Sempena program ini, ‘Tower of Books Challenge’ turut diadakan dengan berobjekti­fkan membaca semua buku daripada senarai yang telah disediakan Pustaka dan daripada Pangkalan Data Dalam Talian Pustaka,” kata Arpah.

Pada tahun lepas, jumlah penyertaan bagi ‘Tower of Books Challenge’ adalah seramai 177 orang dan jumlah buku yang dibaca adalah sejumlah 2,868 buku.

Bacaan buku paling tinggi merupakan kategori tadika iaitu sejumlah 561 buku oleh Jacky Hung Yi Xuan dan kedua tertinggi iaitu sejumlah 262 buku oleh Mohd Alif Adenan Rocky dari Kolej Tun Datu Patinggi Haji Bujang.

Sementara itu Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus dalam ucapan perasmiann­ya berkata, program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit amat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Saya yakin program yang diadakan secara besar-besaran seumpama ini akan dapat menyemarak­kan semula keseronoka­n membaca dan saya memberikan sokongan penuh kepada Pustaka Negeri Sarawak serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini.”

“Tahniah dan syabas kepada pihak Pustaka dan semua yang turut serta menjayakan program ‘Reading Seeds’ serta Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit pada pagi ini.

“Semoga amalan membaca ini akan menjadi amalan harian dan bukan hanya untuk hari ini,” katanya.

Rosey menambah, masyarakat bertuah kerana terdapat banyak bahan bacaan dan aktiviti menarik disediakan pihak Pustaka bagi tujuan ini.

 ??  ?? MENARIK: Arpah (kiri) dan Rosey melihat pameran kraf yang diadakan semasa pelancaran tersebut di sebuah pusat beli-belah di Miri semalam.
MENARIK: Arpah (kiri) dan Rosey melihat pameran kraf yang diadakan semasa pelancaran tersebut di sebuah pusat beli-belah di Miri semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia