Kereta rasmi Pengarah JSJN ditemui di Teluk Intan
KUALA LUMPUR: Kenderaan rasmi pasukan polis yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ser Mohmad Salleh yang sebelum ini disyaki dicuri di Kajang ditemui di Teluk Intan, Perak petang kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzi Ahmat berkata pasukan JSJ Hilir Perak telah mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire warna hitam dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah bangunan di Taman Melor Sejati @ Sejati Waterfront di Teluk Intan.
Beliau berkata, kenderaan berkenaan ditemui pada jam 5 petang.
“Ketika ini kenderaan terbabit berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.
Beliau berkata, walaupun kenderaan itu telah lama ditinggalkan, ia tidak diusik oleh mana-mana pihak dan yakin suspek meninggalkan kenderaan itu kerana takut selepas kehilangan kenderaan itu tular di media sosial.
“Sekarang ini dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan, dan kami menemui beberapa cap jari pada kereta berkenaan dan ia akan dianalisis oleh forensik.
“Selain itu, kami juga mendapati kereta berkenaan turu menggunakan nombor pla pendaftaran palsu, manakala tiada barang berharga yang hilang antaranya seperti sistem audio,” katanya.
Razarudin berkata, siasatan kes masih berjalan dan polis mempergiatkan usaha memburu kesemua suspek yang terlibat dengan kehilangan kereta itu.
Pada Khamis lepas, sebuah kenderaan MPV polis yang digunakan Mohmad dilaporkan hilang, dipercayai dicur dekat sebuah restoran d Sungai Ramal, Kajang dekat sini. — Bernama