Utusan Borneo (Sarawak)

27 tan kurma guna logo halal tanpa kebenaran dirampas

-

BUKIT MERTAJAM: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 27 tan buah kurma bernilai RM448,000 di sini semalam kerana menggunaka­n logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di sebuah gudang syarikat mengimport dan mengedar kurma di Bandar Perda di sini jam 11.00 pagi, hasil maklumat awam dan risikan bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

“Hasil pemeriksaa­n mendapati syarikat itu mengimport kurma dari pelbagai negara di seluruh dunia dan kami mendapati bungkusan kurma itu menggunaka­n logo halal tanpa kebenaran JAKIM malah ia (logo) juga tidak sama dengan yang asli.

“Serbuan itu adalah kejayaan terbesar pihak KPDNHEP dan JHEAIPP pada tahun ini kerana penggunaan logo halal tanpa kebenaran memang memberi kesan kepada orang Islam serta tidak boleh di gunakan dengan sewenangwe­nangnya,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu, di sini.

Katanya berdasarka­n siasatan, syarikat itu menggunaka­n logo halal tanpa kebenaran sejak tiga tahun lepas dan kurma yang mereka import adalah untuk pasaran di negeri-negeri utara sempena bulan Ramadan.

“Syarikat itu juga tidak pernah memohon logo halal daripada JAKIM malah memberi alasan tidak tahu tidak boleh menggunaka­n logo berkenaan tanpa kebenaran. Alasan itu tidak munasabah kerana pihak JAKIM sentiasa membuat hebahan mengenai perkara itu,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, susulan serbuan, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik syarikat berkenaan membantu siasatan kes dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Ditanya sama ada akan berlaku masalah kekurangan bekalan kurma berikutan serbuan berkenaan, beliau berkata beberapa syarikat lain dijangka mampu menampung permintaan kurma sepanjang bulan puasa nanti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia