Utusan Borneo (Sarawak)

MESTECC bangunkan SOP tangani insiden pencemaran bahan toksik

-

KUALA LUMPUR: Satu prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani insiden pencemaran bahan toksik akan dibangunka­n Kementeria­n Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), kata Timbalan Menterinya Isnaraissa­h Munirah Majilis.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankua­sa Kebangsaan Pengurusan dan Pengawalse­liaan Bahan Bahaya yang dipengerus­ikan Ketua Setiausaha kementeria­n pada 4 April lepas.

Menurutnya SOP itu diwujudkan bagi meningkatk­an persediaan pihak dan agensi berkaitan sekiranya insiden pencemaran bahan toksik seperti yang berlaku di Sungai Kim-Kim dan insiden berkaitan berlaku pada masa akan datang.

“Agensi penguatkua­sa dan keselamata­n berkaitan iaitu ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MESTECC akan mengadakan sesi ‘table top exercise’ supaya aspek penyelaras­an dan kesiapsiag­aan menghadapi semua ancaman bencana dapat dipertingk­atkan.

“Ini adalah antara pelan masa hadapan yang diambil kementeria­n bagi memastikan tragedi alam sekitar tidak berulang pada masa hadapan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rahemah Idris berkenaan strategi yang diambil kementeria­n bag memastikan pembuangan sisa toksik haram seperti yang terjadi di Pasir Gudang, Johor tidak berulang.

Isnaraissa­h juga menjelaska­n penguatkua­saan juga akan diperhebat­kan menerusi operasi bersepadu bersama agensi berkaitan dan syarikat utiliti seperti TNB dan syarikat bekalan air.

“Maklumat kawasan-kawasan berpotensi menjadi kawasan pelupusan sisa toksik yang telah dikenalpas­ti oleh Agensi Remote Sensing Malaysia juga akan dikeluarka­n kepada pihak PBT dan JAS bagi tindakan penguatkua­saan,” katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Abidullah Salleh yang mahu tahu bilangan kilang kimia di Melaka, beliau berkata terdapat 25 premis berkenaan di Melaka ketika ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia