Utusan Borneo (Sarawak)

Pingpong MSSM: Sarawak di tempat ke-3

-

KUCHING: Sarawak menggondol dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa untuk mengumpul 247 mata sekali gus menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Pingpong MSSM di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.

Kejohanan itu dimenangi kontinjen Selangor dengan kutipan 415 mata manakala Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 335 mata.

Emas pertama Sarawak dirangkul Karen Lyne Dick, Sammy Tay Yuen dan Foo Sze Hui menewaskan wakil Selangor, Im Li Ying, Lee Xin Ni dan Kuan Ee Xuan dalam final wanita bawah 18 tahun dengan 3-1.

Karen kemudian berganding­an dengan Sammy menewaskan pasangan Lee Xin Ni dan Chin Pui Yie juga dari Selangor dengan 3-2 dalam aksi final beregu wanita bawah 18 tahun untuk merangkul emas kedua.

Dalam aksi perseorang­an wanita bawah 18 tahun, Karen sekadar meraih perak selepas tunduk 3-2 di tangan Lee Xin Ni dalam aksi final.

Sarawak turut meraih perak dalam acara berpasukan lelaki bawah 18 tahun selepas kuartet Lee Yee Jiat, Benjamin Thian dan Too Ying Chuen tunduk 3-0 di tangan Wong Qi Shen, Christophe­r Issac Goh-Kho Hian Hui dan Sam Yuk Siong dari Kuala Lumpur pada aksi final.

Pingat gangsa disumbang Lee Yee Jiat-Benjamin Thian dalam acara beregu lelaki bawah 18 tahun dan Boon Jia Quan-Liew Chun Xian dalam acara lelaki bawah 12 tahun.

Selain itu, tiga atlet Sarawak juga berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 ranking teratas iaitu Sammy Tay, Karen dan Benjamin Thian.

Atlet-atlet Sarawak lain ialah Tay Lynn Jia, Esther Tiong, Joanne Chen, Constance Tiong, Marlyn Mo, Joanne Wong, Enno Bong Sze, Joel Chen Yu, Lee Chen Hong, Edmund Ting, Wong Kong Lie dan Raphael Wong.

Kejohanan kali ini disertai 15 pasukan iaitu Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Kedah, Kelantan, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Terengganu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia