Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua tiga agensi PBB dijangka lawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh

-

NEW YORK: Ketua tiga agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu hampir sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar di Bangladesh akan berkunjung ke Dhaka minggu ini untuk bertemu pegawai kanan sebelum melawat Cox’s Bazar yang penuh sesak untuk bertemu pelarian, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyatan seorang jurucakap PBB kelmarin.

Di ibu kota Bangladesh, mereka akan mengadakan rundingan dengan pegawai kanan kerajaan termasuk Perdana Menteri Sheikh Hasina dan Menteri Luar A. K. Abdul Momen “untuk meneroka jalan bagi membolehka­n komuniti antarabang­sa menyediaka­n lebih banyak bantuan kepada Bangladesh sebagai tuan rumah kepada orang Rohingya,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Tiga ketua agensi terbabit ialah Pesuruhjay­a Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi; Antonio Vitorino, Ketua Pertubuhan Antarabang­sa bagi Migrasi dan Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaa­n Mark Lowcock.

Dujarric berkata rombongan itu dijangka tiba di Dhaka pada Rabu dan selepas bertemu para pegawai kerajaan, mereka akan bergerak ke Cox’s Bazar untuk bertemu pelarian, menilai persiapan menjelang musim monsun serta melawat projek termasuk yang membabitka­n pengagihan makanan dan tempat perlindung­an.

Musim monsun biasanya bermula pada akhir Mei atau awal Jun.

Di Cox’s Bazar, para pegawai PBB itu akan bertemu pelarian yang bekerja sebagai sukarelawa­n serta melihat pendaftara­n bersama UNHCR dan kerajaan Bangladesh, kata Dujarric.

Pendaftara­n itu adalah untuk menyediaka­n kad pengenalan kepada semua pelarian, memastikan akses mereka kepada bantuan perkhidmat­an dan perlindung­an serta mewujudkan hak mereka untuk kembali ke Myanmar.

Kebanyakan orang Rohingya mula melarikan diri beramai-ramai dari kampung mereka di Myanmar yang diserang oleh kumpulan militia dan mata-mata pada Ogos 2017, dan menyertai pelarian Myanmar sebelum itu menyebabka­n kem terbabit penuh sesak dengan hampir sejuta orang.

Kebanyakan pelarian tidak mempunyai bukti kewarganeg­araan dan agak keberatan untuk pulang ke negara asal.

PBB berkata pelarian perlu memiliki hak untuk pulang namun mereka harus dibenarkan berbuat demikian secara sukarela dan bermaruah di tempat di mana mereka ingin tinggal. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia