Utusan Borneo (Sarawak)

Kematian lelaki dari Kota Padawan disahkan akibat jangkitan rabies

-

KUCHING: Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahka­n satu kes baharu rabies membabitka­n seorang lelaki dari Kota Padawan di sini yang meninggal dunia pada Rabu lepas, sekali gus menjadikan 20 kes di Sarawak setakat ini.

Ketua Pengarahny­a Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berusia 46 tahun itu disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidik­an Perubatan (IMR) kelmarin.

“Dukacita dimaklumka­n beliau telah meninggal dunia pada 7 Ogos jam 2.51 pagi dan KKM mengucapka­n takziah kepada keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah digigit anak anjing peliharaan­nya di bahagian belakang tapak tangan kanannya pada 15 Jun lalu.

“Ia berlaku semasa beliau menangkap anjing tersebut yang merayau di luar kawasan rumahnya,” katanya.

Pada hari sama, ujar Dr Noor Hisham, anak perempuan mangsa terbaharu itu yang berumur lapan tahun juga digigit anjing tersebut.

“Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada penghujung Mei lalu dengan status pelalian rabies anjing tersebut tidak diketahui,” jelasnya.

Pada hari kejadian katanya, kedua-dua beranak itu telah mencuci luka tersebut selama 15 minit.

Menurutnya, lelaki berkenaan telah membawa anaknya ke klinik kesihatan pada 17 Jun dan dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Keesokanny­a, lelaki tersebut membawa anaknya ke PBC dan telah diberi dos pertama vaksin rabies.

“Sepanjang kes (lelaki) membawa anaknya untuk mendapatka­n rawatan termasuk lawatan susulan ke klinik bagi melengkapk­an pemberian vaksin rabies, beliau tidak pernah memaklumka­n kepada manamana kakitangan kesihatan bahawa dia juga telah digigit oleh anjing tersebut,” jelasnya.

Pada 29 Julai ujarnya, lelaki berkenaan mula mengalami demam, sakit kepala dan rasa lenguh di bahu kanannya.

“Beliau telah mendapatka­n rawatan di dua klinik kesihatan berbeza pada 31 Julai dan 2 Ogos tetapi tidak juga memaklumka­n sejarah digigit anjing.

“Pada 3 Ogos lalu, kes (lelaki) telah mendapatka­n rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumka­n bahawa beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing.

“Berikutan itu, beliau telah dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit HUS. Keadaan kes pada masa itu adalah agresif, hydrophobi­a, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan.

“Keadaan kes bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi,” ujar Dr Noor Hisham.

Buat masa ini katanya, anak perempuann­ya yang telah digigit anjing sama berada dalam keadaan sihat dan dalam pemantauan pihak kesihatan.

“Dengan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytih­aran wabak pada 1 Julai 2017 adalah 20 kes termasuk 19 kematian.

“Daripada 20 kes tersebut, empat kes berlaku pada tahun ini,” ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes itu merupakan kes keempat mangsa gigitan anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.

“Justeru, KKM sekali lagi memberi peringatan kepada orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies biarpun ia berada dalam kawasan kejiranan.

“Ini kerana dikhuatiri kemungkina­n haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukka­n gejala,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia