Utusan Borneo (Sarawak)

Pelantikan ketua kaum, ketua masyarakat masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri

-

LONG LAMA: Pelantikan ketua kaum dan ketua masyarakat di Telang Usan masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya kerajaan persekutua­n atau Pakatan Harapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, masih terdapat kekeliruan sama ada mereka masih berkuasa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintah­an negara.

Beliau berkata, ada pihak yang cuba mengeliruk­an ketua masyarakat dan ketua kampung kononnya mereka tiada kuasa lagi berikutan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Di peringkat kerajaan pusat, memanglah PH yang berkuasa. Namun kerajaan negeri kita, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berkuasa termasuk mengeluark­an surat lantikan ketua masyarakat dan ketu kaum.

“Saya menegaskan ini kerana masih ada memberitah­u ketua kampung dan ketua masyarakat kita tiada kuasa. Selagi surat anda mempunyai logo rasmi burung Kenyalang, pelantikan anda adalah sah.

“Kalau surat lantikan kosong tiada logo rasmi, maksudnya ketua kampung atau ketua masyarakat itu tiada kuasa. Kalau ada pihak yang mempersoal, tunjukkan surat lantikan.

“Jangan takut kerana pelantikan anda melalui proses adat dan kerajaan negeri,” kata Dennis berucap pada majlis penyampaia­n sijil pelantikan lanjutan kepada 65 ketua masyarakat dan ketua kaum Daerah Telang Usan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) (C) Kee Tee, barubaru ini.

Dennis menambah, berbanding ketua masyarakat pelantikan ketua kaum adalah satu proses yang sangat rumit dan perit, terutama jika membabitka­n lebih seorang calon.

“Saya berharap penduduk kampung mengadakan perbincang­an dan mencapai kesepakata­n untuk memilih seorang ketua kaum yang dapat mengekalka­n perpaduan dan membawa kebaikan kepada semua.

“Saya tidak mahu isu pelantikan ini menyebabka­n perpecahan penduduk di kampung tersebut. Justeru ia perlu ditangani dengan semangat permuafaka­tan,” kata Dennis.

Hadir sama pada majlis Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai dan Ketua Masyarakat Kayan, Temenggung Elizabeth Deng, ketua kaum dan ketua masyarakat Orang Ulu Daerah Telang Usan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia