Utusan Borneo (Sarawak)

Pembaharua­n pengawalse­liaan tingkatkan purata kelajuan jalur lebar tetap antara Malaysia dengan negara utama

-

KUALA LUMPUR: Jurang dalam purata kelajuan perkhidmat­an jalur lebar tetap antara Malaysia dan negara-negara utama lain telah berkuranga­n kepada hanya lebih dua kali daripada enam kali lebih cepat, hasil daripada langkah-langkah pembaharua­n pengawalse­liaan utama yang diambil pada tahun lepas.

Analisis Bank Dunia menunjukka­n purata kelajuan jalur lebar tetap Malaysia telah meningkat dalam tempoh setahun dan pembaharua­n pengawalse­liaan membawa kepada penurunan harga perkhidmat­an jalur lebar tetap dan mencetuska­n perubahan dari segi permintaan pengguna kepada Internet yang lebih cepat.

“Ini penting berikutan analisis kami mendapati kelewatan Malaysia dalam kelajuan Internet sebahagian­nya disebabkan persaingan terhad dalam pasaran jalur lebar, disebabkan dominasi satu syarikat yang memegang 90 peratus bahagian pasaran sehingga Disember 2017.

“Pada masa itu, Malaysia mempunyai pasaran jalur lebar tetap paling tertumpu di seluruh Asia Pasifik untuk negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih besar daripada satu juta.

“Persaingan terhad dan kesukaran dalam penggunaan rangkaian mengekang penyedia perkhidmat­an internet (ISP) alternatif daripada melaksanak­an rangkaian atau menawarkan perkhidmat­an pada terma-terma kompetitif,” menurut bank itu dalam analisis terkininya yang diterbitka­n di laman webnya.

Pengawal selia telekomuni­kasi Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkena­lkan Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP), yang mengawal selia harga dan terma-terma bagi ISP alternatif untuk mengakses kapasiti jalur lebar borong sedia ada.

Pengenalan MSAP telah membawa kepada kualiti sambungan jalur lebar tetap, termasuk perkhidmat­an internet fiber dan kebanyakan penyedia perkhidmat­an tempatan mengumumka­n pelan langganan jalur lebar baharu dengan kelajuan yang lebih cepat pada harga yang lebih rendah.

“Purata harga untuk perkhidmat­an jalur lebar asas dengan 30 Megabit sesaat perkhidmat­an merosot lebih 30 peratus pada 2018. Ternyata, purata harga pelan untuk kelajuan melebihi satu Giga bit sesaat atau sasaran kelajuan untuk negara berpendapa­tan tinggi, susut sebanyak 40 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, pelanggan Malaysia telah mula beralih kepada pelan jalur lebar dengan kelajuan yang lebih pantas dan SKMM mendedahka­n jumlah langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat dengan faktor lapan hingga 1.2 juta pelanggan pada akhir 2018. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia