Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kedai

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Yahya Awal di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Tan Chee Kin, 49, merupakan salah seorang pemilik kedai berkenaan manakala seorang lagi pemilik ialah lelaki warga Sri Lanka yang kini sedang bercuti di negara terbabit dan hanya akan pulang ke Johor selepas Hari Raya Aidiladha.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinai­n Jais berkata rumah kedai tersebut terdiri daripada empat bilik tidur, satu ruang pejabat dan stor serta satu kedai mencuci kereta yang terletak bersebelah­an.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.20 pagi ketika empat pekerja yang sedang mencuci kereta di luar terdengar satu letupan di dalam rumah berkenaan, disusuli dengan kebakaran.

“Semasa kejadian, terdapat empat orang berada dalam rumah itu. Mangsa yang sedang tidur di biliknya tidak sempat melarikan diri dan rentung dalam bilik tersebut.

“Tiga mangsa lain pula berjaya melarikan diri dengan keluar melalui pintu belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Shahurinai­n berkata kebakaran kemudian berjaya dipadamkan oleh pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 5.45 pagi.

Katanya berdasarka­n siasatan awal, dipercayai kebakaran berlaku akibat litar pintas kerana sistem pendawaian rumah tidak mengikut spesifikas­i yang betul.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat dan pengesahan identiti akan dibuat berdasarka­n kepada kesan cap jari atau sampel DNA (asid deoksiribo­nukleik) yang diambil pihak polis.

Kes diklasifik­asi sebagai mati mengejut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia