Utusan Borneo (Sarawak)

Warkah Cinta dari Itali

- Oleh Sriwati Labot

Namun, jauh di sudut hati, lelaki itu tahu Teja tetap setia pada cinta mereka. Sesungguhn­ya jarak bukanlah penghalang. Naluri insan yang saling mencintai tetap akan terasa getarnya. Perlahan-lahan Leonardo mengatur garis-garis halus di sudut bibir Monalisa. Bibir yang semerah mawar pagi. Bibir yang mengucup cinta hingga terus ke hati. Sehingga Leonardo kehabisan ruang untuk diisi. Di bawah sedar, lelaki yang terseksa jiwa raganya itu terjatuh ke satu ruang dimensi. Mungkin ke hadapan masa. Mungkin ke tengah bulatan waktu. Mungkin juga hanya di sebalik tirai imaginasi.

UNTUK ke sekian kalinya dia melukis. Wajah seorang gadis. Wajah yang hampir disingkirk­an oleh masa. Disimpan segaris demi segaris di atas kertas. Sesekali dia merenung ke luar jendela waktu. Ada angin yang menerpa tanpa sengaja. Membisikka­n salam syahdu dari kejauhan. Bergetar hati seorang lelaki. Resah menahan rindu.

“Ikutlah aku Teja. Di sana nanti kita akan bina sebuah pulau impian. Hanya milik kita.” rayu Megat Panji Alam. Teja hanya diam. Dari kelopak matanya berjuraian air yang mengalir jernih. Hati Megat Panji Alam tersayat. Dia tahu Teja telah banyak berkorban untuknya. Untuk keluargany­a. Dan juga untuk tanah air tercinta. Andai diukur dengan hanya setitis cinta, pengorbana­n Teja jauh lebih besar.

“Tuan hamba tidak boleh pentingkan diri dan cinta sahaja. Bayangkan apa akan jadi kalau Teja menolak pinangan baginda,” suara Tuah tiba-tiba berdesir. Dengan nada tegas memujuk.

“Dayus kalau hamba membiarkan tunangan hamba dirampas manusia yang bernafsu jalang. Hamba bukannya penempa pedang yang hanya tahu membakar besi. Darah hamba juga keturunan pahlawan. Kemahiran hamba telah diiktiraf sebagai perancang strategi peperangan.” tingkah Megat Panji Alam angkuh.

“Tapi lagi dayus kalau tuan hamba hanya mementingk­an nafsu sendiri tanpa mempedulik­an rakyat negeri ini. Melaka dan Pahang pasti akan berperang. Jangan pula suatu hari nanti sejarah akan mengatakan Megat Panji Alam punca keruntuhan dan hilangnya kemakmuran.”

“Ceh! Bercakap pasal sejarah. Apa kurangnya tuan hamba. Tidak malukah anak cucu seorang Laksamana yang kerjanya hanya melarikan tunangan orang?” Tegang seketika. Bertikam lidah adalah lebih baik untuk melihat sejarah. Camar-camar petang juga bertempiar­an di kaki senja. Pantai bagaikan pipi gadis dan laut adalah kolam matanya yang menyimpan sejuta rahsia.

*** “Biarlah saudaraku. Tafsirlah semahumu. Aku sudah bersedia menghadapi tohmahan sejarah, kerana aku tahu, perjuangan­ku bukan hanya untuk aku sahaja. Bukan untuk Sultan Melaka sahaja. Bukan juga untuk dijulang sebagai penerima Pingat Jasa Setia. Aku hanya memikirkan kedamaian. Kalau boleh setitik darah yang tertumpah akan aku basuh dengan peluh dan mata fikir yang panjang. Biarlah sejarah Melayu akan menyumpah dan mengatakan Tuah anjing yang mentaati tuan.” Panjang hujah Tuah. Megat Panji Alam hanya menarik nafas dan melepaskan keluhan yang berat.

“Tapi hamba mencintai Teja sepenuh jiwa. Bunuh sajalah hamba daripada membiarkan hamba menderita sepanjang hayat,” suara Megat Panji Alam kembali mengendur. Mata lelaki itu sayu. Ada genangan memohon simpati.

“Tidak tuan hamba. Teja telah membuat satu warkah cinta yang isinya adalah janji untuk hamba jaga amanahnya.”

“Warkah cinta?” Panji Alam tidak mengerti.

“Tidak mengapa. Tidak perlu tuan hamba mengerti. Hamba sudah sediakan sebuah kapal. Tuan hamba berlayarla­h ke mana sahaja, agar rakyat Pahang dan pejuang sejarah yang malas berfikir tidak mengutuk tuan hamba sesuka hati. Pergilah ke satu benua yang hanya ada tuan hamba dan niskala cinta Teja. Mulakan hidup baru di sana.” Suara Tuah terputus dicantas desiran bayu malam.

Hempasan suara ombak menarik kembali rewangan kenangan. Sekarang dia adalah Leonardo. Leonardo da vinci. Seorang pelukis terkenal. Hanya kerana potret seorang wanita. Nama itu telah gah serata dunia. Laksamana Hang Tuah juga tahu. Nama yang asal-usulnya adalah sumpahan sebuah cinta. Tapi apakan daya, itulah takdir yang tidak dapat dielakkan. Ketika Teja bersetuju untuk dilarikan ke bumi Melaka, dia telah membuat warkah janji cinta sejati kepada Tuah. Jangan dibunuh tunanganny­a. Jangan diganggu kaum keluargany­a dan juga jangan digugat keamanan kampung halamannya. Biarkan saja cinta hatinya berkelana jauh. Walaupun hingga ke hujung benua.

Ah! Megat Panji Alam mengeluh. Hatinya hampir luluh. Mana mungkin dia mampu melupakan Teja. Andai diberi sejuta pilihan pun, hanya Teja yang bertakhta di jiwanya. Kalau demi diri sendiri, sudah lama dia ingin mati. Tapi demi sumpah, demi keluarga dan tanah air tercinta, terpaksa dia membiarkan saja. Jasad hanya terikat oleh nadi.

***

Hati yang berkecai tanpa mimpi. Naluri yang terseksa menderita. Hidupnya umpama tidak bernyawa.

Namun, jauh di sudut hati, lelaki itu tahu Teja tetap setia pada cinta mereka. Sesungguhn­ya jarak bukanlah penghalang. Naluri insan yang saling mencintai tetap akan terasa getarnya.

Perlahan-lahan Leonardo mengatur garis-garis halus di sudut bibir Monalisa. Bibir yang semerah mawar pagi. Bibir yang mengucup cinta hingga terus ke hati. Sehingga Leonardo kehabisan ruang untuk diisi. Di bawah sedar, lelaki yang terseksa jiwa raganya itu terjatuh ke satu ruang dimensi. Mungkin ke hadapan masa. Mungkin ke tengah bulatan waktu. Mungkin juga hanya di sebalik tirai imaginasi.

Leonardo terjelepok. Di celah audiens yang ramai. Semuanya bersorak. Melaungkan nama “Teja”. Bunyi tepukan dan sorakan membingitk­an telinga. Lelaki yang dibawa angin zaman itu juga turut memerhati ke tengah pentas.

Mata lelaki sepi itu terpaku. Wanita yang menjadi alir rindu di setiap urat nadinya berada di tengah pentas. Lampu terpasang. Susuk yang menjadi impian setiap kaum Adam memulakan langkah. Yakin dan anggun.

“Majlis apakah ini sahabat?” tanya Leonardo kepada teman yang berada di sebelahnya. Tibatiba saja lidah Melayunya berfungsi kembali.

“Majlis deklamasi puisi yang paling berprestij abad ini. Seluruh penyair Nusantara akan mempamerka­n bakat masing-masing. Antaranya adalah penyair tersohor dari Malaysia. Salah seorang peserta tersebut bernama Teja. Ya, Teja yang karya hatinya telah mengubah landskap empayar bumi Melaka,” jawab seorang lelaki muda tanpa menoleh ke arah Leonardo. Panjang dan bersemanga­t. Matanya terpaku ke tengah pentas. “Teja.” bisik Leonardo. “Ya, Teja. Saudara pun peminat dia juga?” soal lelaki itu sinis. Leonardo hanya diam.

Lampu mula malap. Hanya cahaya samar. Sepi seketika. Alunan biola dan piano mula bergema. Penonton menanti dengan ombak debar di dada. Leonardo hampir terduduk. Kakinya menggeleta­r.

*** “Mengapa Tidak Aku Temui”

“Saya dedikasika­n sajak ini kepada penulisnya. Yang juga seorang pelukis.” bergema suara Teja memenuhi ruang yang sebesar Auditorium Angkasapur­i. Masa terus berlalu dan aku hanyalah detik bisu di celahan riuh dentingan berputar hanya dalam mimpi berkelana dalam diri mencari erti. Di antara detik waktu akulah yang tersesat terperangk­ap dalam debar terkurung dalam getar terseksa mencari makna (walaupun telah aku teliti kamus edisi lalu, tetap juga hati ini ingin tahu ingin memahami makna itu). Aduhai masa! andainya engkau ubat segala duka mengapa racun yang aku rasa. Di celahan masa ini mengapa tidak aku temui makna pencarian yang lebih indah daripada erti pertemuan yang hanya resah. Leonardo da vinci Florence,Itali.

“Warkah cinta dari Itali yang ditujukan kepada Tuah.” Ada kesayuan yang lirih di hujung suara Teja. Lantang dan jelas. Seorang deklamator yang hebat. Dunia juga seakan terpegun.

Penonton terpaku kaku. Beberapa detik kemudian gemuruh tepukan menghargai persembaha­n Teja. Dewan kembali terang. Leonardo seakan-akan terjatuh ke dalam jurang yang maha dalam. Seluruh badannya remuk. Hatinya hancur. Jiwanya lebur.

“Ya. Itu memang warkah cinta dari Itali. Aku yang mengirimka­n kepada Tuah. Untuk disampaika­n kepada Teja.” getus hati Leonardo. Dia masih menyimpan semua salinan warkah cintanya sebagai kenangan. Di saat kerinduan memuncak dia akan membacanya berkali-kali.

Kebijaksan­aan Laksamana Hang Tuah adalah lambang Melayu sejati. Segak mengatur gerak. Mahir menyusun fikir. Hanya dengan menukar satu nama, Tuah mampu menyelamat­kan banyak nyawa. Terserahla­h pada sejarah untuk mencipta tafsir. Mana mungkin misteri silam terungkap tanpa debat dan fikir. Biarlah sejarawan mengkaji mengapa Leonardo da vinci berutus warkah dengan orang kaya Datuk Laksamana.

“Terima kasih Tuah. Kerana menyempurn­akan amanahku.” Mata Leonardo meliar ke segenap ruang penjuru pentas. Bayang Megat Panji Alam juga seakan ingin berlari untuk memeluk Teja. Tapi tidak ada. Teja telah hilang entah ke mana.

Pandangan mata yang hanya dilangsiri segaris hijab tertutup dan terbuka semula. Leonardo hanya rebah di sisi potret Monalisa. Tanpa penat dan jemu dia melukis segaris lagi. Mempamerka­n cantumanca­ntuman hati.

*** “Aduhai masa! Andainya engkau ubat segala duka, mengapa racun yang aku rasa.” Leonardo mengulangi bait-bait ayat yang tersurat. Tapi nyata yang tersirat lebih hebat pukulannya. Hanya hati yang mengerti akan dapat membaca makna. Menafsir kata. Sesekali jiwanya tersihir kembali. Sesekali juga Megat Panji Alam hadir ke tapak memori.

“Maaf kanda, andainya kita juga lahir di bumi Melaka, sudah pasti kita akan bahagia. Kanda tidak perlu jadi pelarian. Kita tidak perlu memikirkan keamanan dan kedamaian daerah kecil kita ini. Mungkin nama kanda juga akan setanding Laksamana Hang Tuah. Tapi takdir telah tersurat hebat. Redalah dengan perjalanan hidup yang singkat ini. Percayalah, sesungguhn­ya aku tidak pernah memilih kesenangan,” puing-puing suara Teja kadang kala menjelma. Menyinggah­i dada sepi seorang lelak, yang hanya menanti degup berlalu.

Leonardo merenung kembali sekeping potret hati. Setelah berzaman masih lagi sepi. Kaku tanpa jiwa. Bisu tanpa suara. Tanpa hati. Tanpa perasaan. Para pentafsir berkata ada ikhlas di bibirnya. Ada cinta di dadanya. Ada rahsia di hatinya. Leonardo hanya diam. Kerana Monalisa adalah karya yang lahir dari hati. Terserahla­h kepada mereka semua untuk menjadikan­nya sasaran kajian.

Pagi itu, setelah ke sekian kalinya pagi yang lain terus berlari, Leonardo memasang angan untuk kembali ke sisi Teja. Kerinduan pada kampung halaman juga seakan melambai. Wajah Tuah dan Teja bersilih ganti. Bayangan kuasa raja Melaka juga berbara. Bahangnya hangat menguji. Anganan pengembara mimpi itu kembali mengecil. Hasrat hatinya yang ingin kembali juga seakan layu. Terkulai di pinggir janji.

‘Mengapa mesti ada cinta,yang akhirnya menderita. Mengapa mesti ada kuasa yang akhirnya menghancur­kan dunia. Mengapa mesti ada sejarah kalau hanya dijadikan bahan cemuhan tanpa difahami makna pengajaran’.

Di bumi Melaka, Teja tetap berjuang dengan kuasa seorang wanita. Leonardo da Vinci sengaja mengkhayal­kan dunia dengan Potret Monalisa (yang sebenarnya untuk dihadiahka­n kepada Sultan Melaka)-tafsiranny­a terserah kepada pemikir.

Strategi perang Datuk Laksamana Hang Tuah tetap menjadi rahsia. Megat Panji Alam tetap menyimpan warkah cinta di dalam hatinya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia