Utusan Borneo (Sarawak)

Dua wanita maut dalam kebakaran di rumah kedai

-

JOHOR BAHRU: Dua wanita maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Indah 8/15, Taman Bukit Indah, di sini, awal pagi Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Inggai Bakau berkata, kedua-dua wanita terbabit berumur lingkungan 20-an dan 70-an meninggal dunia di tempat kejadian.

Inggai berkata, seorang lelaki berumur 40-an, seorang wanita 30-an serta seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun pula cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata, lelaki dan wanita itu diselamatk­an pihak bomba lalu diserahkan kepada ambulans untuk rawatan selanjutny­a dan kanak-kanak lelaki itu pula dihantar ke Hospital Columbia Asia, di sini, oleh orang awam manakala mayat kedua-dua wanita itu pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Bomba menerima panggilan kebakaran di kedai pembekal barangan pembinaan itu menerusi talian MERS 999 pada jam 4.34 pagi.

“Seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Larkin dan Skudai bersama enam jentera bergegas ke tempat kejadian operasi menyelamat dan pemadaman kebakaran,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Katanya, punca dan anggaran kerugian kebakaran sedang disiasat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia