Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan lelaki disyaki cuba bakar masjid di Pendang

-

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran permaidani di dua buah masjid dekat daerah Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di sini selepas tujuh jam kejadian itu.

Suspek ditahan selepas dipercayai membakar permaidani di ruang solat Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang kira-kira jam 5 pagi.

Mengulas lanjut, Arriz Sham berkata, kejadian hanya disedari Imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahya,33, kira-kira jam 5.30 pagi sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

“Pengadu kemudian menghubung­i Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Selain itu, Arriz berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada jemaah Masjid Pendang yang memaklumka­n melihat permaidani di pintu tepi masjid terbakar jam 5.15 pagi dan menghubung­i Bomba untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kebakaran di kedua-dua Masjid Pendang dan Kampung Rambai terlebih dahulu dipadamkan oleh ahli kariah masjid sebelum pihak Bomba datang membantu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia