Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 1,500 rumah terjejas akibat ribut di Kedah

-

ALOR SETAR: Sejumlah 1,536 rumah di 12 daerah di Kedah terjejas apabila mengalami kerosakan pelbagai antaranya pada bahagian bumbung diterbangk­an angin kencang dalam kejadian ribut pada Jumaat malam lepas.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Left Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata daripada jumlah itu daerah Kuala Muda mencatatka­n rumah paling banyak rosak iaitu terdapat 444 buah dan diikuti 260 rumah di Kota Setar.

“Rekod itu diambil dari Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri. Sebanyak 330 kes pokok tumbang diterima akibat ribut itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Aspirasi Korban APM negeri di sini semalam.

Mengulas lanjut, Awang Askandar berkata pihaknya yang terdiri daripada 139 anggota termasuk pegawai masih menjalanka­n operasi pembersiha­n dengan daerah Langkawi dan Kota Setar paling banyak terjejas ekoran kejadian ribut berkenaan.

“Apa kita buat, kita bersihkan dulu kawasan yg menjadi laluan utama orang awam antaranya jalan raya utama, apabila dah bersih di kawasan itu, baru kita pergi kerumah-rumah penduduk yang ada pokok tumbang ini untuk ambil tindakan.

“Kita bertindak mengikut keutamaan dengan bantuan antaranya daripada pihak Pejabat Daerah, PDRM (Polis Diraja Malaysia), bomba dan JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa menghadapi sebarang kemungkina­n sekiranya berlaku lagi kejadian ribut tersebut.

“Tetapi buat masa ini Jabatan Meteorolog­i Malaysia meramalkan tiada gelombang kedua ribut seperti ini setakat ini, bagaimanap­un kita tetap sentiasa bersedia 24 jam,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorolog­i Malaysia mengesahka­n kejadian ribut di beberapa negeri di utara tanah air disebabkan tempias Taufan Lekima yang membadai China. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia