Utusan Borneo (Sarawak)

Pengamal perubatan Islam tawar diri bantu operasi SAR

-

NILAI: Sekumpulan lima orang pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisiona­l Sulafusole­h, semalam menawarkan diri membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, 4 Ogos lepas.

Wakil kumpulan berkenaan, Mohd Khalid Mohamed berkata ia merupakan ikhtiar kumpulan itu yang datang dari Skudai, Johor bagi membantu mengesan remaja perempuan warga Ireland berkenaan, mengikut kaedah perubatan Islam.

“Ikhtiar yang kita lakukan bermula sejak pagi tadi (semalam) tertumpu di kawasan menuruni cerun bukit dan kemudian menyusuri sungai.

“Apabila berlakunya kejadian hilang di kampung ini, ia membuatkan kami terpanggil untuk datang ke sini menawarkan diri membantu dengan menggunaka­n cara alternatif lain bagi mengesan remaja hilang ini. Kami berharap anak ini dapat ditemui selamat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Khalid berkata kumpulan berkenaan pernah menawarkan khidmat mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, 23 Mac lepas.

Sementara itu, Menteri Pengangkut­an Anthony Loke Siew Fook turut meluangkan masa selama satu jam meninjau lokasi dan mendengar taklimat operasi SAR daripada Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar, di Pantai, Seremban, semalam.

Loke ketika ditemui pemberita kemudianny­a berkata beliau berbangga dengan semangat yang ditunjukka­n pasukan SAR termasuk mengorbank­an sambutan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan remaja berkenaan dapat ditemui secepat mungkin.

“Kita memberi keyakinan pada pasukan keselamata­n untuk meneruskan pencarian mangsa dan kita memainkan peranan untuk memberikan sumbangan makanan dan sebagainya untuk memastikan semangat dan moral pasukan keselamata­n tetap tinggi, walaupun telah masuk hari kesembilan.

“Yang pentingnya kita hendak memastikan operasi SAR ini berjaya. Jadi, kita mengharapk­an keputusan yang terbaik daripada operasi ini dan semoga mangsa dapat ditemui segera,” katanya.

Operasi SAR berkenaan yang memasuki hari kesembilan semalam, membabitka­n seramai 348 anggota, pasukan terbesar SAR setakat ini selain 11 orang pengamal media turut menyertai operasi SAR berkenaan.

Menurut pengamal media, kawasan yang pencarian yang dilalui mereka agak berbahaya memandangk­an berdekatan dengan curam selain perlu menempuh perjalanan berbukit, batu yang licin dan tajam serta berdepan dengan gelap ekoran hutan di Gunung Berembun sangat tebal.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajar­an itu tiba bersama keluargany­a di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan­nya oleh keluargany­a pada jam 8 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, Ketua Armada Negeri Sembilan Muhammad Aziim Mustafa meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan operasi SAR berjalan lancar dan mangsa dapat ditemui dengan segera.

“Antara cerita di sosial media termasukla­h remaja itu dipercayai diculik dan sebagainya. Saya harap hentikan spekulasi itu. Dalam masa yang sama Armada Negeri Sembilan amat prihatin dengan kejadian itu dan juga bersimpati terhadap keluarga mangsa.

“Saya harap ibu bapa mangsa tabah dan bersabar kerana pasukan keselamata­n telah menggunaka­n pelbagai cara untuk mengesan mangsa, namun sehingga hari ini (semalam) masih belum berjumpa,” katanya kepada Bernama di sini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERUSKAN MENCARI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika mencari Nora yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu.
— Gambar Bernama TERUSKAN MENCARI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika mencari Nora yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu.
 ?? — Gambar Bernama ?? TAWAR BAKTI: Sekumpulan bomoh menawarkan khidmat mencari remaja dikenali Nora yang hilang sejak 4 Ogos lalu.
— Gambar Bernama TAWAR BAKTI: Sekumpulan bomoh menawarkan khidmat mencari remaja dikenali Nora yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia