Sistem e-bidding nombor pendaftaran kenderaan di Sarawak bermula 24 Sept
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan melaksanakan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan dalam talian (ebidding) di negeri ini bermula 24 September depan.
Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, sistem itu membolehkan orang awam membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ.
“Kita akan menggunakan sistem e-bidding untuk pertama kalinya di Sarawak dengan mengeluarkan dua siri nombor plat iaitu QCK dari Samarahan dan QS dengan hujungnya huruf L dari Sibu.
“Maknanya, kedua-dua nombor itu akan dibida secara dalam talian yang dijangka bermula pada 24 September depan,” katanya sambil menambah, tempoh bidaan untuk satu siri nombor pendaftaran berlangsung lima hari dan tamat jam 11.59 malam pada hari kelima.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Korban JPJ Sarawak sempena Hari Raya Aidiladha di pekarangan Surau An Nur, Kompleks JPJ Sarawak di sini, semalam.
Sebanyak dua lembu disembelih pada program berkenaan untuk diagihkan dagingnya kepada 50 asnaf dan fakir miskin dari kampungkampug berdekatan termasuk warga JPJ Sarawak.
Menurut Mohd Syafiq, sistem itu sebelum ini sudah dimulakan di Semenanjung Malaysia dan dari segi sambutan, alhamdulillah sangat menggalakkan.
“Berikutan reaksi positif itu, maka kita menjangkakan akan mendapat sambutan baik daripada kalangan penduduk Sarawak memandangkan ia menawarkan ketelusan daripada transaksi pendaftaran dan memudahkan orang ramai serta menjimatkan masa,” ujarnya.
Beliau berkata, e-bidding memudahkan pengguna atau orang awam mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tanpa perlu menghantar borang secara manual seperti sebelum ini.
“Jika sebelum ini kita menggunakan kaedah bidaan secara manual tetapi dengan adanya sistem e-bidding, semua urusan dibuat dalam talian termasuk kaedah pembayaran.
“Bagaimanapununtukorang awam menggunakan sistem ebidding, mereka dikehendaki memiliki ID awam dengan membuat pendaftaran akaun di mana-mana cawangan JPJ terdekat. Ini kerana tanpa ID awam mereka mungkin tidak dapat menggunakan sistem tersebut,” katanya.
Ditanya sama ada JPJ Sarawak akan mengeluarkan siri nombor plat lain selain dari Samarahan dan Sibu, beliau berkata, pihaknya merancang untuk menggunakan nombor siri pendaftaran kenderaan dari Kuching dan Miri nanti.
“Namun buat permulaan kita akan menggunakan nombor siri pendaftaran kenderaan dari Samarahan dan Sibu.
“Kita akan maklumkan perkembangan selanjutnya mengenai sistem e-bidding dari semasa ke semasa menerusi laman Facebook atau Twitter atau Instagram mahupun laman rasmi jabatan kita,”ujar beliau.
Untuk makluman, setiap nombor kenderaan akan dikenakan bayaran mengikut kategori.
Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah RM20,000 manakala nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300) dengan kenaikan minimum lima peratus bagi semua kategori itu.