Utusan Borneo (Sarawak)

Stesen ILP Miri terus catat IPU tahap bahaya

-

KUCHING: Stesen Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) Miri terus mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap bahaya dengan bacaan 335 setakat jam 5 petang semalam.

Menurut laman sesawang, bacaan IPU berkenaan merupakan yang tertinggi di Sarawak diikuti SK Kuala Baram 2 yang mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 266.

Turut mencatat status kualiti udara tidak sihat, bahagian Sri Aman dengan bacaan IPU 134 setakat jam 5 petang.

Sementara itu kawasan lain di negeri ini bacaan masih dikategori­kan sederhana dengan Sarikei mencatat IPU 95, Mukah (86), Miri, Sibu dan Kuching masing-masing (79) diikuti Bintulu (78), Samarahan (73), Samalaju (68), Kapit (62) dan Limbang (56).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori­kan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, sebanyak 34 kes kebakaran belukar terbaharu dilaporkan di seluruh negeri menjadikan jumlah keseluruha­n 394 kes setakat jam 6 petang semalam.

Jumlah kes tersebut katanya, membabitka­n kawasan yang terjejas seluas 1,028 ekar.

Tambahnya 34 kes terbaharu dilaporkan ialah 10 kes di Kuching, lima kes di Mukah, empat kes di Serian serta Sibu, tiga kes di Betong, dua kes di Samarahan serta Bintulu dan satu kes masing-masing di Sri Aman serta Sarikei.

“Jumlah kes kebakaran belukar dari 1 hingga 13 Ogos adalah sebanyak 394 kes iaitu termasuk 34 kes yang dilaporkan setakat jam 6 petang hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Secara purata, JBPM Sarawak respons sekurangku­rangnya 30 kes kebakaran belukar setiap hari sejak 1 Ogos.

“Jumlah kes kebakaran belukar tertinggi ialah semalam iaitu sebanyak 65 kes, Sabtu (10 Ogos) 58 kes dan Ahad (11 Ogos) 55 kes,” katanya.

Tambahnya terdapat lapan lokasi yang melibatkan operasi berterusan semalam termasuk di kawasan Kompleks Kebajikan Hamidah, Kuala Baram yang memasuki hari ke-13 dan Kampung Sedi, Pulau Bruit yang memasuki hari ketujuh.

“Manakala Taman Harmoni, Sri Aman serta Jalan Marudi-Miri operasi pemadaman memasuki hari kelima dan Kampung Sangki, Simunjan, Kampung Bungan, Mukah serta Kampung Tuie, Serabang, Betong memasuki hari keempat dan Kampung Medong, Dalat memasuki hari ketiga” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia