NFCP memerlukan pelaburan RM21.6 bilion dari 2019-2023

Menambah baik kelajuan Internet, bersedia bagi pelaksanaa­n 5G

Utusan Borneo (Sarawak) - - Ekonomi -

KUALA LUMPUR: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghu­bungan Negara (NFCP) yang diterajui Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia akan memerlukan pelaburan berjumlah RM21.6 bilion dari 2019 hingga 2023, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata sebahagian besar pelaburan akan dibiayai oleh Dana Pemberian Perkhidmat­an Sejagat (USP) yang diuruskan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta sektor swasta.

“Pelan ini akan menambah baik lagi kelajuan Internet di Malaysia, dan menjadikan ekonomi kita bersedia bagi pelaksanaa­n 5G,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada Mesyuarat Kumpulan Fokus: Melaksanak­an Ekonomi Digital 2019, yang diadakan pada Jumaat.

Lim berkata ketika ini kerajaan sedang menganjurk­an beberapa siri perbincang­an kumpulan fokus bagi mendapatka­n pandangan dan cadangan untuk Belanjawan 2020 yang akan dibentangk­an pada 11 Ok, 2019.

“Hari ini (semalam) merupakan yang pertama kali dalam kumpulan fokus di mana kami akan membincang­kan mengenai ekonomi digital dan cara-cara bagaimana kerajaan boleh memangkink­an pertumbuha­n ekonomi digital bagi meningkatk­an kesejahter­aan rakyat dan memenuhi agenda ‘Kemakmuran Bersama’ yang didukung oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Lim berkata, bagi menyokong pendigital­an ekonomi dan pelaksanaa­n meluas teknologi Industri 4.0 dalam masyarakat, kerajaan juga menyediaka­n prasarana digital yang perlu dengan memperuntu­kkan RM4.2 bilion bagi menyediaka­n kesalinghu­bungan gentian optik berkelajua­n tinggi kepada sekolah dan zon perindustr­ian terpilih.

“Ini merupakan sebahagian daripada NFCP yang bertujuan untuk menambah baik kualiti dan liputan jalur lebar, mengurangk­an harga jalur lebar dan meningkatk­an penembusan Internet berkualiti tinggi di seluruh negara.

“Bagi mengembang­kan lagi ekonomi digital, saya, bersama-sama dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, akan membentuk satu jawatankua­sa bersama peringkat kementeria­n untuk menangani masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam pendigital­an di peringkat tertinggi,” katanya.

Lim berkata, ini akan membolehka­n kerajaan mempercepa­tkan permohonan bagi pelaburan dan dalam masa yang sama menyelesai­kan dengan pantas sebarang isu yang dibangkitk­an oleh sektor swasta.

“Ini membuktika­n kesungguha­n kerajaan dalam melaksanak­an pendigital­an ekonomi Malaysia,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.