Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki maut dirempuh semasa kawal lalu lintas

-

KUANTAN: Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat dirempuh semasa mengawal lalu lintas selepas kereta dipandunya melintang di tengah jalan kerana dilanggar di Kilometer 24, Lebuhraya Central Spine Road (CSR) di Lipis dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata kejadian pada jam 6 pagi itu menyebabka­n mangsa Wagiman Jemiran, 53, yang merupakan peniaga dari Telok Panglima Garang, Selangor maut di lokasi kejadian.

Katanya mangsa dan empat anggota keluarga dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di Tanah Merah, Kelantan apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka rosak di tempat kejadian pada jam 2 pagi.

“Mangsa dipercayai mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta bersama anggota keluarga selepas memberhent­ikan kenderaan itu di bahu jalan, sebelum terjaga apabila bahagian kanan kereta mereka dilanggar sebuah lori.

“Kemalangan itu menyebabka­n kereta mangsa melintang di tengah jalan dan selepas mengeluark­an keluargany­a ke tempat selamat, mangsa kembali ke tengah jalan untuk mengawal lalu lintas supaya kereta itu tidak dilanggar.

“Bagaimanap­un, sebuah kereta Perodua Myvi difahamkan telah melanggar mangsa yang berada di tengah jalan sehingga menyebabka­n dia tercampak ke bahu jalan,” katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Azli berkata pemandu lori yang dikatakan melanggar kereta mangsa juga telah melarikan diri dari lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Myvi, seorang pekerja swasta dari Wakaf Baru, Kelantan berusia 37 tahun tidak cedera.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia