Utusan Borneo (Sarawak)

Sneijder umum bersara dari bola sepak

-

THE HAGUE, Belanda: Pemain paling banyak bermain untuk Belanda, Wesley Sneijder, mengumumka­n persaraan dari bola sepak Isnin lepas, sekali gus menamatkan karier penuh trofi sepanjang 17 tahun.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang bermain 134 kali untuk Belanda, membuat pengumuman itu ketika bercakap dalam rangkaian YouTube untuk kelab bandar kelahirann­ya, FC Utrecht selepas membeli tempat duduk VIP di stadium itu.

“Pertalian saya dengan bandar ini sangat besar. Sekarang saya sudah bersara dari bola sepak, saya mahu satu tempat menarik untuk berkongsi kenangan saya,” kata beliau.

Sneijder, yang membuat penampilan sulung antarabang­sa pada 2003 ketika berusia 19 tahun, memperoleh­i pingat naib juara Piala Dunia pada 2010 selepas Belanda tewas kepada Sepanyol di final kejohanan yang berlangsun­g di Afrika Selatan.

Aksi cemerlang beliau bagaimanap­un membolehka­nnya menerima trofi Bola Perak untuk anugerah pemain kedua terbaik kejohanan, di belakang penyerang Uruguay, Diego Forlan.

Empat tahun kemudian di Brazil, beliau membantu pasukannya menduduki tempat ketiga selepas tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir. Beliau juga disenaraik­an dalam Pasukan Impian Euro 2008 walaupun pasukannya tersingkir di suku akhir kepada Rusia.

Kemaraan ke final Piala Dunia 2010 hadir selepas musim cemerlang di peringkat kelab, ketika beliau membantu Inter Milan memenangi kejuaraan Serie A Itali, Piala Itali dan Liga Juara-Juara ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.

Lahir dari akademi Ajax Amsterdam pada 2002, Sneijder memenangi kejuaraan Liga Eredivisie (Belanda) dan dua Piala Belanda sepanjang lima tahun di kelab sebelum berpindah Real Madrid, di mana beliau berganding­an dengan rakan senegarany­a, Arjen Robben.

Beliau memenangi La Liga Sepanyol pada 2008 sebelum berpindah ke Inter Milan setahun kemudian dan memenangi kejuaraan treble sebelum kecederaan demi kecederaan menyaksika­n beliau berpindah ke Galatasara­y, di mana beliau memenangi dua lagi kejuaraan liga tempatan dan tiga Piala Turki sepanjang empat tahun. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia