Utusan Borneo (Sarawak)

Rokok, minuman keras dipercayai belum lulus kastam dirampas di Miri

-

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas sebanyak 15,476 batang rokok dan 63.36 liter minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan ke atas dua premis berasingan di sini, kelmarin.

Rampasan JKDM kali ini melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,604.82 dan jumlah cukai sebanyak RM12,312.61 bagi keduadua kes berkenaan.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan.

“Pada 13 Ogos jam lebih kurang 1.15 petang, sepasukan anggota Bahagian Penguatkua­saan Kastam Miri menyerbu sebuah premis di Jalan Miri-Bintulu, Batu 5 Lambir dan pemeriksaa­n berjaya menemui sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus kastam disimpan di premis.

“Sebanyak 4,060 batang rokok pelbagai jenama dirampas melibatkan anggaran nilai sebanyak RM324.80 dan jumlah cukai sebanyak RM2,962.18,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sementara itu, serbuan kedua dibuat pada hari yang sama sekitar jam 7.15 malam ke atas sebuah premis di Jalan Sejahtera Desaras 6, Jalan Tudan.

“Hasil pemeriksaa­n pasukan berjaya menemui sejumlah rokok pelbagai jenama dan minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam yang disimpan di premis.

“Sebanyak 11,416 batang rokok dan 63.36 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,280.02 dan jumlah cukai sebanyak RM9,350.43,” katanya.

Sharifah Halimah berkata, kedua-dua individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan.

Tambahnya, rokok dan minuman keras berkenaan disembunyi­kan di dalam premis dan bahagian bawah kaunter pembayaran premis berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun seratus ribu ringgit ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia