Utusan Borneo (Sarawak)

KKM rampas 8,000 produk tidak berdaftar, kosmetik bernilai RM200,000

-

KUALA LUMPUR: Cawangan Penguatkua­saan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Perak merampas 8,000 unit produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifik­asi bernilai hampir RM200,000 di tiga premis di Ipoh, Seri Manjung dan Lumut, dua minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk dirampas termasuk makanan disyaki dicemari perangsang seks seperti Candy B+ Complex, Soloco, Hickel dan Vimax; ubat kurus tidak berdaftar seperti Surut Ayu dan Li Da; serta produk kesihatan dicemari steroid seperti AlBarakah Ayam Selasih dan Bella Formula Sinus Care.

“Maklumat awal berkaitan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifik­asi ini dikesan melalui aktiviti pemantauan di media sosial yang dijalankan oleh pihak CPF Negeri.

“Risikan terhadap maklumat awal ini menunjukka­n suspek memiliki tiga premis yang menjalanka­n aktiviti jualan tersebut dan semua premis berkaitan merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar bagi produk-produk tersebut di sekitar Perak,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Noor Hisham turut mengingatk­an mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifik­asi agar menghentik­an penjualan, pengedaran atau penggunaan­nya dengan serta-merta memandangk­an produk tersebut tidak terjamin kualiti dan keselamata­nnya.

“KKM mengingatk­an orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik melalui media sosial.

“Orang ramai perlu menyemak status pendaftara­n produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https:// www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau menghubung­i Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 0378835400.

“Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut,” katanya.

Beliau berkata individu didapati bersalah menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifik­asi boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia