Utusan Borneo (Sarawak)

Aktivis iklim Greta Thunberg mulai pelayaran ke New York

-

PLYMOUTH: Aktivis iklim remaja Greta Thunberg memulakan pelayaran ke New York semalam, menuju ke satu sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di atas sebuah kapal layar sifar pengeluara­n gas karbon dengan seorang anggota kerabat diraja Monaco sebagai juragan.

Gadis Sweden berusia 16 tahun itu, yang memberi inspirasi kepada kanakkanak di seluruh dunia untuk membantah pemanasan global menerusi mogoknya di sekolah, enggan terbang kerana pengeluara­n karbon yang disebabkan oleh pesawat.

Namun dia telah ditawarkan tumpangan di atas kapal layar lumba Malizia II, bersama bapanya Svante dan seorang pembuat filem untuk mendokumen­kan pelayaran tersebut, yang akan membolehka­nnya untuk menghadiri rundingan PBB pada September dengan hati nurani yang bersih.

Juragan bagi kapal sepanjang 18 meter itu adalah Pierre Casiraghi, naib presiden Kelab Kapal Layar Monaco dan seorang anggota kerabat yang memerintah prinsipali­ti tersebut, dan pelayar mengelilin­gi dunia dari Jerman, Boris Herrmann.

Pelayaran itu memakan masa kira-kira dua minggu – kapal layar itu dapat belayar pada kelajuan kira-kira 35 knot (70 kilometer sejam) tetapi dijangka akan bergerak perlahan kerana melawan arah angin pada kebanyakan waktu, dan kapten mahukan pelayaran yang lancar.

“Objektif adalah untuk tiba dengan selamat dan sihat di New York,” kata Herrmann kepada AFP ketika dia membuat persiapan terakhir di pelabuhan Plymouth, England.

Thunberg menjadi wajah bagi tindakan iklim dengan amarannya yang tajam mengenai bencana jika dunia tidak bertindak sekarang untuk mengurangk­an pengeluara­n karbon dan membendung pemanasan global.

Bercakap kepada AFP sebelum dia berlepas, aktivis itu berkata: “Sudah tentulah ramai orang yang tidak faham dan menerima sains berkaitan.

“Saya hanya akan melakukan apa yang saya sudah lakukan selama ini – tidak mempedulik­an mereka dan hanya menyampaik­an sains seadanya,” tambahnya yang merujuk kepada perjalanan­nya ke Amerika Utara.

“Kita mewujudkan pergerakan dan pendapat antarabang­sa supaya orang berdiri bersama dan meletakkan tekanan ke atas orang yang memegang kuasa.”

Kapal layar berkenaan dibuat untuk berlumba, dengan sayap yang mengangkat­nya keluar dari air untuk pelayaran yang lebih cepat dan lebih lancar.

Di dalamnya tidak padat, dipasang dengan peralatan navigasi berteknolo­gi tinggi, sebuah makmal lautan untuk memantau paras karbon dioksida di dalam air, dan empat tempat tidur – Herrmann dan Casiraghi akan berkongsi satu tempat tidur secara bergilir-gilir.

Tandas adalah sebuah baldi plastik biru, lengkap dengan beg nyah-hidrat yang dapat dibuang ke dalam air, dan makanan adalah paket makanan sayur yang dibekukan dan dicampur dengan air yang dipanaskan di atas dapur gas kecil.

Namun panel solar canggih menghiasi bahagian tepi dan dek kapal manakala dua penjana hidro juga disediakan, yang sama-sama menyediaka­n semua bekalan elektrik yang mereka perlukan di atas kapal.

Thunberg tidak pernah belayar sebelum minggu ini, dan mabuk laut pada pelayaran pertama mereka keluar dari Plymouth pada Isnin lepas, tetapi berkata dia mengalu-alukan pelayaran itu.

Remaja itu, yang menghabisk­an masa berjam-jam dengan menaiki kereta api merentasi Eropah untuk menyebar mesejnya, tenang mengenai keadaan asas.

“Kita sebenarnya tidak dapat meminta begitu banyak jika kita berpeluang untuk menyeberan­gi lautan Atlantik secara percuma,” katanya, dan menambah: “Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki.” — AFP

 ??  ?? THUNBERG
THUNBERG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia