Utusan Borneo (Sarawak)

Tunggang motosikal secara melulu, duda anak satu dipenjara dan didenda

-

KUALA LUMPUR: Seorang duda anak satu dipenjara tiga hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, semalam selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, Ahad lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahim memerintah­kan Muhammad Sukri Mubin, 28, menjalani hukuman penjara itu bermula semalam dan akan dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda serta lesen memandunya digantung dua tahun.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya sambil melakukan aksi menundukka­n kepala yang mana perbuatan tersebut adalah membahayak­an diri sendiri dan pengguna jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, pada jam 3.11 pagi, 11 Mei lepas.

Juruteknik itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatka­n lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Ketika rayuan, Muhammad Sukri yang tidak diwakili peguam memberitah­u mahkamah bahawa beliau adalah penanggung utama keluarga.

“Saya rayu hukuman penjara yang singkat dan denda kurang, saya ada anak yang perlu diberi nafkah. Saya juga menanggung keluarga,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia