Utusan Borneo (Sarawak)

120 rumah di Bagan Datuk terjejas akibat tempias Taufan Lekima

-

BAGAN DATUK: Sebanyak 120 rumah di mukim Hutan Melintang dan Rungkup, di sini mengalami kerosakan akibat terkena tempias Taufan Lekima, Sabtu lalu.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Zaliha Mustafa berkata 80 rumah di Hutan Melintang dan 40 lagi di Rungkup mengalami pelbagai kerosakan termasuk hilang atap selain terdapat struktur kediaman yang runtuh.

Katanya, kos kerugian akibat kejadian tersebut dianggarka­n berjumlah RM173,300.

“Kita dimaklumka­n ada seorang wanita berusia 40an cedera dan sebuah rumah dari 120 buah itu ‘total lost’, keadaannya teruk sekali.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihka­n kit bencana kepada mangsa dan kita akan lihat bagaimana keadaan rumah untuk kemungkina­n bantuan lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah terjejas di sini, semalam.

Zaliha berkata pihaknya bersama Jawatankua­sa Pengurusan Bencana daerah sentiasa memantau dan mengambil berat keadaan mangsa dengan menghantar pelbagai bantuan termasuk keperluan membaik pulih rumah seperti batu-bata dan bumbung.

Sementara itu, seorang mangsa dari Bagan Sungai Belukang di Selekoh, Ruhaida A. Ghani, 43, berkata semasa kejadian berlaku dia yang sedang tidur di dalam bilik terkejut apabila atap rumahnya bergegar dengan kuat.

Ruhaida yang mempunyai lima orang anak itu berkata dia dan suami, Mohamad Sufian Yusuf @ Tajuni, 43, kemudian panik selepas melihat kesemua atap rumahnya terbang ditiup angin sebelum hujan lebat memasuki rumahnya.

“Hujan lebat terus masuk ke dalam rumah dan kami tidak sempat menyelamat­kan apa-apa kerana atap semuanya sudah tiada dan kami yang dalam keadaan takut terus masuk ke dalam kereta, berlari ke rumah ibu saya kira-kira 300 meter dari rumah ini,” katanya.

Ruhaida yang telah menetap di rumah itu sejak 13 tahun lalu berkata kejadian tersebut pertama kali berlaku dan ia adalah pengalaman paling buruk menimpa keluargany­a terutama menjelang Hari Raya Aidiladha.

“Ini adalah pengalaman paling buruk kami. Kami tidak dapat beraya malah terpaksa memikirkan bagaimana untuk mencari duit membaik pulih rumah yang kemungkina­n memakan kos sehingga lebih RM10,000,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DILANDA RIBUT: Zaliha (kiri) melihat keadaan bilik di sebuah rumah yang rosak akibat dilanda ribut baru-baru ini di Kampung Bagan Sungai Belukang, Selekoh, Bagan Datuk, semalam.
— Gambar Bernama DILANDA RIBUT: Zaliha (kiri) melihat keadaan bilik di sebuah rumah yang rosak akibat dilanda ribut baru-baru ini di Kampung Bagan Sungai Belukang, Selekoh, Bagan Datuk, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia