Utusan Borneo (Sarawak)

Suasana lengang di resort The Dusun

-

NILAI: Suasana di resort The Dusun, di Pantai, Seremban lengang pagi semalam dengan hanya anggota polis dan bomba meneruskan tugas melengkapk­an siasatan di kawasan sekitar berkaitan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan mati kelmarin selepas hilang selama 10 hari.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan sekitar lokasi mulai tenang dan lengang berbanding 10 hari sebelum ini yang dipenuhi pengamal media tempatan dan luar negara serta anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Pagi semalam, kelihatan beberapa kenderaan anggota keselamata­n masih berlegar di sekitar kawasan resort berkenaan selain kelihatan beberapa anggota forensik polis dan bomba melaksanak­an tugas.

Kelmarin, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dilapor sebagai berkata operasi diteruskan bagi melengkapk­an siasatan.

Selain itu, pintu masuk di resort berkenaan dilihat masih dikawal oleh beberapa anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia dengan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dilihat turun dari resort berkenaan.

Seramai enam anggota media masih ‘berkampung’ di khemah operasi SAR yang disediakan berhampira­n pintu masuk resort berkenaan.

Kelmarin, pasukan SAR menemukan mayat remaja Ireland itu yang dilapor hilang dari resort tersebut pada 4 Ogos. Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mayat itu dibawa untuk proses bedah siasat.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapan­nya di resort itu oleh keluargany­a pada jam 8 pagi, 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajar­an itu tiba bersama keluargany­a di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia