Kerajaan Negeri Sembilan ucap takziah buat keluarga Nora Anne
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Nora Anne Quoirin selepas penemuan mayat remaja itu kelmarin yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lepas.
“Kami juga berasa sedih atas kehilangan beliau kerana mereka tetamu kerajaan negeri. Kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap keluarga Nora Anne Quoirin bersabar.
“Kami harap kejadian ini adalah yang pertama dan terakhir berlaku di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya dan begitu juga kami berharap perkara ini tidak akan berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.
Kelmarin, pasukan SAR menemukan mayat remaja Ireland yang berumur 15 tahun itu yang dilapor hilang dari resort tersebut pada 4 Ogos.
Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mayat itu dibawa untuk proses bedah siasat. — Bernama