Utusan Borneo (Sarawak)

Dua suspek kes pecah masuk rumah, curi berjaya ditangkap

-

KUCHING: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk rumah dan curi sebuah rumah di Star Garden berjaya ditangkap Unit Komuniti Kepolisan Stapok sebelum diserahkan kepada pihak polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek yang berjaya ditangkap berusia 34 dan 40 tahun.

Beliau menjelaska­n, pada 7 September lalu sekitar jam 3 petang, semasa berada di sebuah pusat beli-belas di Kuching, mangsa yang merupakan seorang peniaga berusia 31 tahun menerima maklumat bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri.

Dedahnya, setiba di rumah di Star Garden, Kuching, mangsa mendapati pintu pagar rumah telah dirosakkan secara paksa dan keadaan bilik berselerak.

“Setelah melakukan pemeriksaa­n, mangsa mendapati duit syiling dan peralatan solek milik teman wanitanya telah dicuri.

“Mangsa membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumahnya menggunaka­n sebuah kereta berwarna putih,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Awang Din memberitah­u, gambar rakaman CCTV tersebut telah dikongsika­n bersama kumpulan Wechat Komuniti Kepolisan Stapok dan selepas itu mangsa dimaklumka­n bahawa kenderaan tersebut berada di kawasan Stapok.

“Mangsa pergi ke kawasan tersebut dan mengekori sehingga 10 ahli Komuniti Kepolisan tiba dan berjaya menangkap dua suspek manakala dua lagi rakan sejenayah mereka berjaya melarikan diri,” jelasnya.

Jelasnya, kerugian yang dialami adalah sebanyak RM600 termasuk nilai kerosakan rumah mangsa.

Selain itu katanya, barangan yang berada dalam jagaan suspek telah dirampas termasuk kenderaan yang digunakann­ya.

“Semakan rekod mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang sebagaiman­a dilaporkan di Balai Kota Sentosa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Awang Din memberitah­u, pada 7 September lalu sekitar jam 2 petang, suspek juga disyaki telah cuba melakukan pecah rumah di kawasan Poh Kwong Park, Kuching tetapi tidak berjaya kerana pemilik rumah telah menjerit setelah menyedari kedatangan suspek.

Menurutnya, pemilik rumah tersebut juga memberi maklumat bahawa suspek telah melarikan diri menggunaka­n kenderaan berwarna putih.

“Semakan rekod terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai banyak rekod berkaitan kes dadah di kawasan Kuching dan Padawan serta salah seorangnya juga mempunyai rekod kesalahan mencuri.

“Siasatan masih lagi dijalankan terhadap kedua-dua suspek sama ada terlibat dengan kes pecah rumah dan curi lain,” ujarnya sambil menambah, Mahkamah Kuching meluluskan reman terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia