Utusan Borneo (Sarawak)

Pekerja agensi asli Brazil dibunuh

-

SAO PAULO:

Penduduk asli Maxciel Pereira dos Santos ditembak mati di hadapan anggota keluargany­a di pekan Tabatinga di Amazon, menurut INA, kumpulan kesatuan mewakili para pekerja di agensi perlindung­an penduduk asli Brazil FUNAI kelmarin.

Santos ditembak dua kali di kepala pada Jumaat lepas ketika menunggang motosikal melalui sebatang jalan raya utama di Tabatinga, jauh di dalam hutan hujan Amazon di sempadan Brazil’ dengan Colombia dan Peru, lapor akhbar Folha de S.Paulo.

Dalam satu kenyataan, INA memetik bukti bahawa pembunuhan­nya berlaku sebagai tindakan balas bagi peranan Santos dalam menangani penceroboh­an haram oleh pihak pemburu, pembalak dan pelombong emas di hutan simpan Vale do Javari, kediaman bagi kepadatan paling tinggi bagi puak asli yang tidak pernah diketahui di dunia.

Folha de S.Paulo menyatakan pihak polis sedang menyiasat sama ada kematian Santos adalah berkaitan dengan tugasnya di FUNAI namun tidak mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menentukan motif di sebalik jenayah tersebut.

Santos telah berkhidmat lebih 12 tahun di FUNAI, termasuk lima tahun sebagai ketua perkhidmat­an alam sekitar di hutan simpan Vale do Javari, jelas INA.

Funai mempunyai tiga pangkalan di Vale do Javari bagi melindungi kawasan sebesar negara Austria dengan kirakira 6,000 penduduk dari lapan puak dan kira-kira 16 puak yang tidak dikenali.

INA menyeru kepada pihak berkuasa agar Brazil tidak lagi membiarkan keganasan terhadap mereka yang terlibat, di bawah undang-undang, dalam perlindung­an dan penggalaka­n hak penduduk asli.

Ia turut menggesa pihak berkuasa agar melindungi ejen-ejen yang melindungi tanah penduduk asli. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia