Utusan Borneo (Sarawak)

Kes rogol: Lelaki dibicara 16-17 Disember depan

Tunggu keputusan DNA, tertuduh kini ditahan di Sekolah Henry Gurney untuk kes rogol terdahulu

- Oleh Hafizah Abdul Hamid

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 16 dan 17 Disember depan sebagai tarikh perbicaraa­n bagi kes rogol melibatkan seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun.

Semalam merupakan pengurusan kes bagi kes terbabit dan pihak pendakwaan masih menunggu keputusan ujian DNA.

Sementara itu, Hafizuddin Mazlan kini ditahan di Sekolah Henry Gurney untuk kes terdahulu yang juga melibatkan kes rogol.

Bagi pertuduhan merogol baharu itu, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terbabit ketika sebutan kali pertama bagi kes itu berlangsun­g pada 22 Ogos lalu.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan di hadapan Hakim Jason Juga.

Dia didakwa merogol kenalannya di sebuah rumah di Jalan Matang Baru pada 6 Ogos lepas, jam 8 malam.

Pada malam itu juga, tertuduh menarik tangan kenalannya itu dengan kuat dan memaksa gadis itu untuk masuk ke dalam keretanya.

Tertuduh kemudian membawanya ke sebuah rumah.

Apabila mereka tiba di rumah itu, tertuduh terus membuka pakaian gadis berkenaan dan bertindak merogolnya.

Selesai melakukan perbuatan terbabit, tertuduh menghantar gadis tersebut pulang ke asramanya di sini.

Bagi kes itu, beberapa saksi terdiri daripada mangsa, doktor, pegawai penyiasat dan pegawai yang menangkap tertuduh bakal hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Tertuduh bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes yang berlaku pada 26 Jun 2016 pula, tertuduh mengaku bersalah merogol kenalannya yang berusia 15 tahun ketika itu di sebuah rumah penginapan di Jalan Simpang Tiga, antara jam 11.40 pagi dan 12.05 tengah hari.

Menurut fakta kes, tertuduh memperdaya­kan mangsa agar mengikutny­a ke tempat kejadian dan memaksanya untuk melakukan hubungan seks gara-gara dia mempunyai teman lelaki baharu.

Mangsa cuba melepaskan diri tetapi dihalang oleh tertuduh, apatah lagi apabila tertuduh bertindak pantas dengan mengunci pintu bilik.

Tertuduh kemudian menolak mangsa ke atas katil, membuka pakaian serta merogolnya.

Mangsa tidak dapat bertindak mempertaha­nkan diri kerana diugut oleh tertuduh.

Tertuduh juga menghantar mangsa pulang ke rumah selepas mengarahka­nnya untuk membersihk­an diri.

Bagi kesalahan terbabit, dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Tertuduh diwakili peguam Roger Chin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia