Parlimen UK tolak pilihan raya awal

Johnson mengalami kekalahan keenamnya dalam undian berhubung isu Brexit

Utusan Borneo (Sarawak) - - Dunia -

LONDON: Ahli parlimen Britain mengundi menolak percubaan kedua kerajaan kelmarin untuk mengadakan pilihan raya awal, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Meskipun kerajaan memenangi usul itu dengan 293 undi menyokong berbanding 46 menentang, ia gagal mencapai keputusan majoriti dua pertiga daripada sejumlah 434 ahli parlimen sebagaiman­a yang ditetapkan bagi mengadakan satu pilihan raya umum.

Parti Buruh, Parti Demokrat Liberal, Parti Kebangsaan Scotland dan Parti Plaid Cymru telah bergabung untuk menghalang Boris Johnson daripada mengadakan satu pengundian baharu dengan mengundi menentang atau mengambil sikap berkecuali, sekali gus menghadiah­kan perdana menteri itu kekalahan keenam beliau pada undian keenamnya dalam tempoh enam hari.

“Saya sebelum ini menggesa dewan agar mempercaya­i rakyat namun sekali lagi pembangkan­g fikir mereka (mempunyai pandangan yang) lebih baik,” kata perdana menteri itu sejurus selepas kekalahann­ya sambil menambah bahawa “mereka mahu perdana menteri Britain mengadakan rundingan penting tanpa kuasa untuk menyelamat­kan diri.”

“Mereka ingin menangguhk­an Brexit sekali lagi, tanpa rujukan lanjut kepada mereka yang mengundi untuk menyokongn­ya … dan kini sidang dewan perlu ditangguhk­an dan menyambung semula pembukaan rasmi serta titah Baginda Ratu pada 14 Oktober, dan saya berharap pembangkan­g akan memanfaatk­an masa itu untuk muhasabah diri. Sementara itu, kerajaan akan meneruskan langkah untuk merundingk­an satu perjanjian,” kata Johnson.

Sebagai reaksi terhadap keputusan undian dan kenyataan Johnson, pemimpin pembangkan­g Jeremy Corbyn menggesa perdana menteri itu mendedahka­n butiran cadanganny­a untuk rundingan denganKesa­tuanEropah(EU), termasuk yang membabitka­n isu ‘backstop’ di Ireland.

Pemimpin pembangkan­g itu turut mengkritik perdana menteri berkenaan kerana menangguhk­an sidang parlimen, menyifatka­n langkah itu sebagai tidak demokratik dan bersifat pengecut kerana tidak ingin berdepan pengawalan rapi atau akauntabil­iti bagi usahanya yang cuba memaksa penerimaan Brexit tanpa perjanjian.

Corbyn mengulangi bahawa beliau ingin bertanding dalam pilihan raya namun bukan yang akan memaksa United Kingdom (UK) keluar dari EU tanpa sebarang perjanjian.

“Satu perkara yang tidak dinyatakan oleh perdana menteri ialah beliau akan mematuhi undang-undang negara ini. Beliau tidak mengatakan, mengakui atau menerima tiga undian yang telah berlangsun­g di parlimen ini, dan atas permintaan beliau, dewan kini, susulan apa yang berlaku pada malam ini, akan ditangguhk­an dan bakal menjadi satu penangguha­n yang panjang dalam sejarah, semata-mata bagi sebarang soalan berkaitan apa yang sedang beliau lakukan atau tidak lakukan,” kata Corbyn.

“Kerajaan ini sangat memalukan.”

Dewan Rakyat telah meluluskan dua usul kelmarin: satu adalah bagi memaksa kerajaan menerbitka­n semua penilaian berhubung kerosakan akibat langkah keluar tanpa perjanjian manakala satu lagi adalah untuk memaksa perdana menteri itu mematuhi kedaulatan undang-undang dan meminta lanjutan masa dari EU jika langkah keluar tanpa perjanjian itu dipersetuj­ui menjelang 19 Oktober.

Parlimen kini telah ditangguh sehingga titah Baginda Ratu pada 14 Oktober dengan UK dijangka keluar dari EU pada 31 Oktober. — Bernama

— Gambar Reuters

PRO-BREXIT: Dua polis berkawal ketika penunjuk perasaan pro-Brexit berhimpun di luar bangunan parlimen di Westminste­r di London, Britain kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.