Polis Perak sedia bantu kesan Farhash

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

PARIT: Polis Perak bersedia membantu untuk mengesan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menghilang­kan diri daripada membantu siasatan berhubung kejadian serangan di sebuah Kompleks Sukan di Ampang, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya sedia memberikan bantuan sekiranya diperlukan termasuk mendapatka­n risikan maklumat bagi mengesan Farhash.

“Kita memang akan beri bantuan... Ketua Polis Negara pun telah beri kenyataan berkenaan Farhash jadi sekiranya bantuan dipohon daripada pihak kita dan sekarang ini (tindakan) di pihak Bukit Aman.

“Kita juga akan dapatkan risikan maklumat untuk bantu,” katanya pada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini semalam.

Ahad lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu sidang media di ibu negara berkata usaha mengesan Farhash masih dijalankan walaupun mangsa dalam kes itu sudah menarik balik laporan polis yang dibuat.

Farhash, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah suspek utama kes serangan ke atas seorang jurulatih tinju di Kompleks Sukan Arena, di Taman Dagang Permai di Kuala Lumpur. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.