Utusan Borneo (Sarawak)

STL Premier: Sabah bermula di tangga tercorot pada minggu kedua

- Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINABALU: Sabah meneruskan cabaran dari kedudukan tercorot pada minggu kedua saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier penghujung minggu ini selepas kalah dua perlawanan pertamanya di Stadium MABA, Kuala Lumpur penghujung minggu lalu.

Skuad dengan gelaran Sabah Mountainee­rs itu memulakan cabaran dengan kekalahan 2-0 di tangan juara Divisyen Satu musim lalu, Negeri Sembilan Antlers.

Sabah memulakan perlawanan dengan gandingan ketua pasukan, Daut Amba selaku apit kanan dan ‘feeder’, Jaxon Amputong (killer) dan Izwan Zukri memberi tentangan sengit tetapi akhirnya akur dengan kekalahan tipis 19-21 pada set pertama.

Usaha mereka bangkit pada set kedua termasuk dengan melakukan dua pertukaran, memasukkan Khairudin Adenan dan Zulhelmi Zakaria menggantik­an Jaxon dan Izwan juga tidak menjadi untuk Negeri Sembilan Antlers keluar sebagai pemenang dengan keputusan 21-15.

Sabah Mountainee­rs juga gagal menebus kekalahan itu apabila turut kalah ‘straight set’ 11-21, 13-21 di tangan Kuala Lumpur Thunder pada perlawanan kedua untuk berada di tangga tercorot kalangan 10 pasukan dalam saingan itu.

Kuala Lumpur Thunder kini mendahului carta liga dengan enam mata selepas memenangi semua tiga perlawanan pertamanya. Turut menjadi mangsanya ialah Terengganu Turtles dan PDRM Defenders.

Memberi saingan sengit di kedudukan teratas ialah Johor Tigris dan Penang Black Panthers masing-masing mengumpul empat mata diikuti ATM Guardians, Nageri Sembilan Antlers dan Perak Bison masing-masing mengumpul dua mata.

KelantanWa­rriors,PDRM Defenders dan Terengganu Turutles menyertai Sabah Mountainee­rs di kelompok tercorot tanpa sebarang mata.

Sabah Mountainee­rs meneruskan cabaran saingan minggu kedua minggu ini juga di Stadium MABA menentang Terengganu Turtles pada Jumaat, Perak Bison (Sabtu) dan ATM Guardians pada Ahad ini.

Daut ketika dihubungi berharap mereka dapat memberi persembaha­n lebih baik pada perlawanan seterusnya.

“Sebagai pendatang baharu, kami memang jangkakan saingan di Liga Premier ini lebih sengit. Harap-harap kami akan dapat memberikan persembaha­n lebih baik berbanding pada dua perlawanan pertama pada minggu kedua ini,” katanya.

Turut berada dalam senarai pemain Sabah Mountainee­rs ialah tekong import dari Thailand, Wiraphong Phukoet. Pemain itu bagaimanap­un dijangka hanya dapat menyertai pasukan minggu ini.

Ia merupakan cabaran baharu bagi Sabah Mountainee­rs dalam saingan STL Premier selepas muncul naib juara Divisyen Satu musim lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia