Utusan Borneo (Sarawak)

Abaikan isu juri, Faizul tekad buru emas ketiga

-

KUALA LUMPUR: Pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir tidak terlalu memikirkan tentang pengadil atau wasit sebaliknya tekad meraih pingat emas ketiganya di Sukan SEA Filipina.

Pesilat berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mengakui beliau tidak menitikber­atkan isu pengadil berat sebelah yang berlaku dalam sesuatu kejohanan kerana ia akan memberi satu aura negatif yang boleh merencatka­n aksinya.

“Juri itu perkara kedua, saya tidak mahu ada perasaan negatif ketika beraksi jika terlalu fikirkan mereka. Jadi perkara utama ialah persembaha­n yang bakal saya tunjukkan. Saya mahu pastikan saya mendapat kemenangan mutlak, jadi tidak akan ada benda yang boleh diubah,” katanya pada sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Tambah Muhammad Faizul, walaupun tanpa kelibat juara dunia seperti Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, beliau akan membawa aura juara dua pesilat itu pada temasya dwitahunan yang dijadualka­n berlangsun­g pada 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Mohd Al-Jufferi dan Siti Rahmah tidak menyertai kejohanan terbesar Asia Tenggara itu ekoran tuan rumah tidak menyenarai­kan acara mereka.

“Saya mahu mengekalka­n rekod bersih di kejohanan Sukan SEA yang mana sebelum ini saya sudah raih dua pingat emas di dua edisi Sukan SEA. Walaupun tanpa kehadiran juara dunia, saya dan pasukan mahu buktikan (kemenangan) tanpa kelibat mereka.

“Sepanjang dua kali kemenangan, mereka bersama saya tapi tidak mustahil tanpa kelibat mereka saya dan pelapis baharu tidak boleh buat, kami akan buktikan keupayaan kami. Masa di Sukan SEA Singapura pun saya atlet baharu tapi saya boleh menang. Apa yang penting, kami dapat kawal emosi ketika pertanding­an,” katanya.

Muhammad Faizul yang akan bertanding dalam acara Putra Kelas B (50-55kg) mahu menjadikan penyertaan di Sukan SEA kali ini sebagai yang terbaik untuk dirinya dan negara.

Beliau mengakui bakal menerima tentangan hebat daripada pesilat Singapura, Hazim Yusli dan Hidayat Limonu dari Indonesia.

Selain Muhammad Faizul, Persekutua­n Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah menyenarai­kan empat lagi atlet bagi kategori silat olahraga iaitu Muhammad Khairi Adib Azhar, Zulfazly Zulfakar, Nor Farah Mazlan dan Nurul Khaiza Kharudin yang akan bertanding dalam lima acara.

Bagi silat seni yang menawarkan empat pingat emas, tujuh atlet telah disenaraik­an iaitu Luqman Laji, Mohd Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah, Nashrul Edzam Mohd Asri dan Nur Syafiqah Hamzah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia