RUMAH SEWA TERBAKAR, 17 PENGHUNI TERJEJAS
SIBU: Seramai 17 penghuni daripada empat keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah sewa mereka musnah dalam satu kebakaran di Jalan Amoy di sini, pagi semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8.33 pagi telah mengerahkan dua pasukan bomba ke lokasi.
Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Tiong Ling Hii berkata, setibanya di lokasi kejadian, api telah marak memusnahkan 90 peratus deretan rumah berkenaan yang membabitkan empat pintu rumah kayu.
“Ketangkasan pihak Bomba berjaya menyelamatkan rumah lain yang dibina sederet dengan rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, sebanyak dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan sebuah lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan kekuatan 21 anggota bertungkus-lumus memadamkan api sehingga terkawal pada jam 9.08 pagi.
Tiong berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut manakala pasukan penyiasat kebakaran masih menjalankan pemeriksaan lanjut di tapak kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk kerugian.
Operasi tamat pada jam 11.16 pagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang turut pergi ke lokasi kejadian untuk menyampaikan sumbangan kepada semua ketua isi rumah yang terjejas.
Selain pasukan polis yang mengawal keadaan di lokasi kejadian, agensi lain termasuk pasukan Angkata Pertahananan Awam Malaysia (APM) Sibu juga menghulurkan bantuan dan menyerahkan Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada mangsa kebakaran, manakala wakil-wakil dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sibu turun padang untuk memberi bantuan kepada ketua isi rumah berkenaan.