Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki kedua maut dirodok lembu jantan di festival Sepanyol

-

MADRID: Seorang lelaki meninggal dunia selepas dirodok oleh seekor lembu jantan kelmarin semasa satu festival di tengah Sepanyol, kata pihak berkuasa.

Mangsa adalah orang kedua yang terbunuh semasa festival lembu jantan di negara ini dalam tempoh kurang dari dua minggu.

Insiden berlaku semasa acara larian lembu jantan diadakan di pekan Horche, kira-kira 60 kilometer timur laut Madrid.

Seekor lembu jantan telah merodok seorang lelaki berusia 82 tahun di bahagian perut dan peha, kata pegawai perkhidmat­an kecemasan tempatan.

Dia telah dibawa oleh ambulans ke sebuah hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Media tempatan melaporkan mangsa telah melihat lembu jantan itu berlari dari jarak jauh lagi.

“Saya hanya melihat lelaki itu apabila dia sudah terbaring di atas tanah namun keadaannya sangat teruk,” kata datuk bandar Horche Jose Manuel Moral.

Pekan tersebut akan meneruskan acara larian lembu jantan yang dijadualka­n pada Selasa dan Rabu sebagai sebahagian daripada festival tahunannya.

Sepanyol terkenal dengan acara larian lembu jantannya yang diadakan di seluruh negara pada bulan-bulan musim panas ketika pekanpekan tersebut mengadakan festival berkenaan sebagai penghormat­an kepada santo penjaga mereka.

Seorang lelaki berusia 62 tahun meninggal dunia pada 29 Ogos selepas dirodok di bahagian dada dan leher oleh seekor lembu jantan dalam satu festival di pekan Cuellar di tengah Sepanyol.

Acara larian lembu jantan yang paling terkenal diadakan semasa festival San Fermin di bandar utara Pamplona, di mana ratusan orang datang dari seluruh pelusuk dunia untuk berlari di bawah tanggungan risiko sendiri di depan beberapa lembu jantan di sepanjang jalan raya bandar tersebut.

Lapan orang telah dirodok dan 35 tercedera pada tahun ini dalam festival Pamplona, yang menjadi terkenal di seluruh dunia melalui novel “The Sun Also Rises” nukilan Ernest Hemingway pada 1926.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam acara larian lembu jantan di San Fermin sejak mula direkodkan pada 1911, kematian terakhir telah direkodkan pada 2009. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia