Utusan Borneo (Sarawak)

Dalang seludup dan jual migran ditahan

-

KANGAR: Seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Tauke, 35 disyaki mendalangi sindiket penyeludup­an migran rentas sempadan ditahan Jabatan Imigresen Perlis dalam operasi di sekitar ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di Chuping Sabtu lepas.

Pengarah Imigresen Perlis Basri Othman berkata berdasarka­n siasatan awal, Tauke yang juga pengusaha ladang di kawasan itu aktif menjalanka­n kegiatan penyeludup­an migran sejak dua tahun lalu.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkina­n kawasan pertanian tersebut dijadikan transit untuk aktiviti penyeludup­an migran sebelum dijual kepada majikan dengan harga RM14,000 ke RM15,000 seorang.

“Turut ditahan dalam operasi jam 1.30 pagi itu dua lelaki warga asing Bangladesh berusia antara 25 hingga 30 tahun yang menaiki Toyota Hilux yang dipandu Tauke selain tiga lelaki warga Myanmar yang ditahan dalam dalam satu operasi sebelumnya pada 4 September.

“Tiga lelaki warga Myanmar tersebut ditahan ketika melalui jalan kampung untuk keluar dari Padang Besar dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dipercayai untuk mengelak daripada melalui sekatan jalan raya Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya percaya ketiga-tiga migran tersebut dibawa masuk oleh sindiket sama menerusi laluan yang tidak diwartakan sekitar Chuping dan Padang Besar.

Basri berkata dalam dua operasi itu wang tunai sebanyak RM4,900, 10 unit telefon bimbit, dan dua jenis kenderaan yang dinaiki suspek turut dirampas.

“Modus operandi sindiket ini ialah dengan membawa masuk warga asing dengan jumlah yang kecil untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia