BURUH TIKAM PEMBANTU AADK DIHUKUM PENJARA 17 TAHUN, LIMA SEBATAN

Utusan Borneo (Sarawak) - - Muka Depan -

SIBU: Seorang buruh yang menikam Pembantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) awal bulan ini dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun dua bulan berserta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Raymond Bakak, 18, dari Bandar Baru Permyjaya, Miri terdahulu dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan mendatangk­an kecederaan parah dengan menikam mangsa menggunaka­n pisau.

Tertuduh turut dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan atas tuduhan merompak barangan milik mangsa dan penjara 14 bulan atas tuduhan mencuri motosikal mangsa.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan bermula semalam.

Dalam rayuan, Raymond merayu agar menjalani hukuman penjara itu di Penjara Miri memandangk­an keluargany­a tinggal di Miri.

Raymond didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada 1 September 2019, antara jam 7.30 malam dan 8.30 malam di Pusat Khidmat Pemulihan dan Penjagaan (CCSC) AADK Sibu di Jalan Hulu Lanang.

Bagi pertuduhan menikam mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 dan Seksyen 397 kanun yang sama bagi pertuduhan merompak mangsa.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas tuduhan mencuri motosikal milik mangsa.

Berdasarka­n fakta kes, pada 1 September 2019, kira-kira jam 8.18 malam, pengadu yang juga Ketua AADK Sibu telah menerima panggilan daripada mangsa untuk datang ke CCSC kerana dia mengalami kecederaan.

Apabila tiba di bilik rehat kakitangan, pengadu melihat mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan dalam keadaan lemah.

Mangsa kemudian memaklumka­n tertuduh telah menikam dadanya dengan senjata tajam.

Pada 2 September 2019, kirakira jam 11.15 pagi, bertempat di Pos Kawalan Taman Perindustr­ian Samalaju Bintulu, dua anggota polis bantuan telah menahan tertuduh kerana menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigak­an.

Ketika diperiksa, mereka menjumpai dompet milik mangsa di saku kiri tertuduh serta sebilah pisau dalam bakul motosikal yang ditutup dengan jaket hitam.

Tertuduh bersama barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjung Kidurong untuk tindakan lanjut.

KE PENJARA: Raymond (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sibu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.