Kekurangan pekerja sosial antara cabaran tangani masalah sosial: Wan Azizah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Kekurangan pekerja sosial antara punca ketidakcek­apan pengurusan dalam menangani masalah sosial di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui bahawa pada masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai jumlah kakitangan yang cukup.

“Berdasarka­n kajian MAMPU nisbah pekerja sosial JKM kepada populasi penduduk Malaysia ialah 1 (seorang) pekerja kepada 8,576 orang (1:8,576)

“Nisbah ini memang besar jika dibandingk­an negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat ; 1 kepada 490, di Australia ; 1 kepada 1,040, United Kingdom 1 kepada 3,025 dan di negara jiran kita, Singapura, 1 kepada 3,448,” katanya pada sesi soal jawab persidanga­n Dewan Rakyat, di sini semalam.

Selain itu, katanya kepelbagai­an fungsi di luar skop kerja yang terpaksa dipikul oleh pegawai JKM juga menyebabka­n berlaku ketidakcek­apan dalam pengurusan perlindung­an sosial.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang mahu tahu sama ada kementeria­n akan mengkaji keberkesan­an sistem perlindung­an sosial di bawah JKM selepas didakwa Pelapor Khas PBB sebagai ‘fragmented’ dan tidak mempunyai pekerja sosial yang mencukupi.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeria­n sedang mengambil beberapa langkah perubahan agar JKM dapat memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial iaitu pengurusan kes kepada kumpulan sasar.

Antaranya melalui pelaksanaa­n Akta Profesion Kerja Sosial yang dijangka dibentangk­an di Dewan Rakyat pada Disember ini.

“Bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, kementeria­n telah mula berbincang dengan Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) agar perkara ini dapat diselesaik­an di samping meningkatk­an kolaborati­f bersama badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kumpulan sasar menerima perlindung­an sewajarnya,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada Mei lepas juga telah bersetuju supaya Majlis Perlindung­an Sosial Malaysia (MySPC) yang ditubuhkan pada 2016, diaktifkan semula sebagai badan induk penyelaras­an dasar dan program perlindung­an sosial bagi memperkasa­kan sistem perlindung­an sosial negara.

Katanya, di bawah MySPC satu Jawatankua­sa Teknikal Perlindung­an Sosial telah ditubuhkan bagi menyelaras empat Jawatankua­sa Kerja, di mana KPWKM telah diberi mandat untuk mengetuai Jawatankua­sa Kerja Bantuan Sosial.

Menurut Dr Wan Azizah, mesyuarat MySPC akan diadakan pada 3 Dis ini bagi membincang­kan draf Pelan Induk Perlindung­an Sosial Kebangsaan serta cadangan untuk mewujudkan Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindung­an Sosial.

Sementara itu, merujuk kepada dakwaan Pelapor Khas PBB yang menyatakan bahawa sistem perlindung­an sosial di Malaysia adalah ‘fragmented’, Dr Wan Azizah menjelaska­n, kenyataan itu merujuk kepada sekurang-kurangnya 110 program perlindung­an sosial di Malaysia yang dilaksanak­an oleh 20 Kementeria­n dan agensi, bukan hanya semata-mata yang berada di bawah JKM.

“Daripada 110 program perlindung­an sosial ini, hanya 11 bantuan kebajikan berada di bawah tanggungja­wab JKM,” katanya.

Ketika ditemui pemberita di lobi parlimen, Dr Wan Azizah berkata telah tiba masanya negara mempunyai akta yang mengawal selia pekerja sosial di negara ini seperti mana profesion lain seperti doktor dan peguam. — Bernama

— Gambar Bernama

MASALAH SOSIAL: Wan Azizah ketika persidanga­n Dewan Rakyat di parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.