Utusan Borneo (Sarawak)

Hukuman terhadap penganiaya­an haiwan, satu pengajaran

-

KUALA LUMPUR: Penghukuma­n dikenakan atas kesalahan menganiaya haiwan yang dijatuhkan mahkamah kelmarin, seharusnya menjadi pengajaran bagi mengelakka­n perbuatan tersebut terus dilakukan pada masa hadapan kata aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya dalam satu kenyataan semalam, pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan walaupun mana-mana kes penganiaya­an haiwan terlepas, kerana perbuatan tidak berperikem­anusiaan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan pelakunya perlu dihukum mengikut undang-undang.

“Keputusan (kes) itu merupakan suatu yang amat penting, kerana pesalah itu merupakan orang pertama yang dikenakan hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 sejak mula dikuatkuas­akan pada Julai 2017.

“Diharapkan agar keputusan itu akan menggalakk­an orang ramai melaporkan lebih banyak kes penganiaya­an terhadap haiwan,” katanya yang juga Penaung Persatuan Pencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SCPA) Selangor.

Lee membuat kenyataan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang kelmarin yang menjatuhka­n hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 kepada seorang lelaki, selepas beliau dalam sebuah video didapati membunuh kucing dipercayai bunting dengan memasukkan­nya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri.

Sementara itu, Lee berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil makluman penghakima­n tersebut dan membaiki aspek penguatkua­saan apabila menangkap haiwan terbiar di kawasan mereka.

“Saya percaya, pembunuhan, pengurunga­n dan menghapusk­an haiwan terbiar perlu dilakukan mengikut AWA 2015,” tambahnya lagi.

Sementara itu seorang warganegar­a prihatin B. Krishan Singh, 68, ketika ditemui Bernama berkata hukuman yang dikenakan terhadap lelaki itu adalah setimpal, kerana haiwan juga mempunyai hak untuk hidup dan orang ramai perlu menjadikan insiden ini sebagai iktibar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia