Utusan Borneo (Sarawak)

Buruh dipenjara dan disebat kerana rompakan berkumpula­n

-

SIBU: Seorang buruh dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpula­n.

Abdullah Khuzaifah, 38, menukar pengakuan bersalah ketika kes terbabit sepatutnya dibicaraka­n di hadapan hakim Caroline Bee Majanil, petang kelmarin.

Dia didakwa melakukan rompakan berkumpula­n bersama Mohammad Fadzil, 26, dan Awang Shahril, 26.

Fadzil dan Shahril bagaimanap­un kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

Mereka didakwa merompak pemilik kedai membaiki barangan elektrik di Jalan Khoo Peng Loong pada 12 Mac 2019, kira-kira jam 6 pagi.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen 395 ini memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarka­n laporan, tiga lelaki yang memakai topi keledar penuh telah menyerbu masuk ke sebuah kedai membaiki barangan elektrik dan merompak pemilik kedai yang berumur 44 tahun.

Kejadian itu telah berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis.

Tiga lelaki terbabit melarikan wang tunai RM400, beg, botol, dokumen dan telefon bimbit milik mangsa.

Ketiga-tiga tertuduh berjaya ditahan pada 18 Mac di sebuah bilik sewa di Jalan Bako.

Dalam rayuan, Khuzaifah merayu dikenakan hukuman ringan serta kesal dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Tertuduh turut memberitah­u terpaksa menyara serta menjaga ibu dan dua adiknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia