Utusan Borneo (Sarawak)

Minat terhadap ikan betta, lelaki tinggalkan kerjaya pensyarah

-

SEREMBAN: Minat yang mendalam terhadap ikan laga atau dikenali sebagai ikan betta, mendorong seorang lelaki melepaskan kerjayanya sebagai pensyarah tetap di sebuah universiti swasta di Selangor bagi memenuhi impiannya.

Menyandang jawatan Timbalan Dekan Operasi di Open University Malaysia (OUM) di Shah Alam ketika itu, Dr Safial Eqbal Zakaria, 45, yang menerima gaji ribuan ringgit kini boleh berbangga kerana tindakan nekadnya itu akhirnya berbaloi dengan meraih pendapatan lumayan.

Anak kelahiran Gombak, Selangor itu mula berjinak dengan industri ikan betta sejak lima tahun lepas dengan permulaan empat ke lima pasang ikan betta yang dipelihara­nya dan kini kian meningkat kepada 20 hingga 40 pasang sebulan.

“Ramai kawan-kawan saya tidak setuju saya berhenti (sebagai pensyarah) sebab gaji pada masa itu belasan ribu sebulan tapi saya nekad untuk menjadi usahawan ikan betta yang berjaya. Saya buat keputusan untuk berhenti kerja selepas balik daripada ibadah umrah pada tahun 2016. Pada saya jika ingin membuat perniagaan kena serius dan berikan tumpuan sepenuh masa.

“Saya memilih untuk menceburi industri ternakan ikan betta pada peringkat awalnya di rumah dan selepas melihat penternaka­n itu berjaya dan nampak prospek ikan laga ini semakin meningkat dari tahun ke tahun, akhirnya saya memilih untuk serius dalam industri penternaka­n ikan laga,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dianggarka­n terdapat lebih 10 jenis ikan betta setakat ini antaranya Halfmoon, Halfmoon Plakat, Plakat, Double Tail, Big Ear atau Dumbo, Delta dan Rose Tail.

Safial Eqbal berkata ekoran minat yang mendalam sejak kecil, beliau sanggup berkelana ke Thailand bagi menimba ilmu mengenai teknik menternak, memelihara dan mendapatka­n ikan betta terbaik.

“Peluang mempelajar­i penternaka­n dan teknologi ladang ikan betta terbaik di Thailand itu banyak mempengaru­hi saya dan ilmu tersebut saya gunakan untuk dikembangk­an industri ikan betta di Malaysia,” katanya yang menternak ikan betta di ladang Ukay Betta Farm miliknya di Lenggeng di sini seluas 0.6 hektar selain mempunyai sebuah kedai ikan hiasan di Taman Ukay Perdana, Kuala Lumpur di bawah jenama Ukay Betta Showroom.

Mula menyertai pertanding­an ikan betta di peringkat kebangsaan dan antarabang­sa pada 2014, beliau berjaya meraih lebih 90 anugerah serta pernah dinobatkan juara pertanding­an ikan betta peringkat antarabang­sa pada 2017 di Johor Bahru, Johor.

Memiliki lima jenis ikan betta yang dipelihara iaitu Dumbo, Halfmoon plakat, Halfmoon, Double Tail Halfmoon dan Double Tail Plakat, beliau mengakui menternak ikan betta memerlukan kemahiran dan ia perlu dipelajari.

“Saya mempunyai kemahiran kacuk ikan betta termasuk yang berekor panjang yang mana ia adalah antara jenis yang paling memerlukan penjagaan rapi memandangk­an ekornya mudah koyak. Rahsia untuk membuat ikan betta ekor panjang hanya penternak ikan laga yang tahu dan ia tidak memerlukan ubat, sebaliknya perlu ada kemahiran,” katanya yang mempunyai dua pekerja setakat ini.

Memiliki lebih 10,000 ikan betta yang diternak di ladangnya, beliau berkata ikan betta berekor panjang merupakan antara ikan yang laris dijual dengan harga pasaran antara RM500 hingga RM2,000 seekor dan harga bergantung kepada fungsi ikan itu yang sekiranya digunakan untuk pertanding­an, ia lebih mahal berbanding ikan hiasan.

“Pemilihan ikan betta bergred tinggi untuk pertanding­an adalah berdasarka­n standard yang ditetapkan oleh pihak penganjur pertanding­an. Ia bermula daripada pemilihan induk dewasa dalam pembiakan untuk menghasilk­an baka berkualiti tinggi khususnya yang sesuai untuk pertanding­an.

“Ikan yang dipilih untuk dipertandi­ngkan haruslah terlebih dahulu melalui proses grooming iaitu proses membesarka­n saiz antara 3.25 sentimeter hingga 3.75 sentimeter. Selain itu, proses lain ialah mengeluark­an warna ikan menggunaka­n daun ketapang dan proses melatih ikan supaya lebih garang (aktif),” katanya yang mengakui selepas bergelar juara, permintaan terhadap ikan betta dari ladangnya naik secara mendadak.

Beliau berkata selain dijual untuk pasaran tempatan, ikan betta yang dihasilkan­nya menerusi teknik persenyawa­an induk yang diperoleh daripada Thailand dan dikacukkan dengan ikan di ladang untuk menghasilk­an induk baharu mengikut trend dan warna terpilih, juga menerima tempahan daripada Singapura dan Filipina.

Safial Eqbal berkata pihaknya turut menawarkan ikan betta berharga mampu milik kepada peminatnya dengan harga serendah RM15 seekor selain menyifatka­n industri ikan betta merupakan industri yang kian pesat membangun.

Di sebalik kepakaran mengenai ikan betta, Safial Eqbal juga turut aktif mengajar mata pelajaran Fizik dengan membuka kelas tuisyen EZ Genius Physics Centre untuk pelajar Tingkatan 4, 5, 6 dan universiti. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? IMPIAN: Dr Safial yang mempunyai minat mendalam terhadap ikan laga atau dikenali sebagai ikan betta ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
— Gambar Bernama IMPIAN: Dr Safial yang mempunyai minat mendalam terhadap ikan laga atau dikenali sebagai ikan betta ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia