Utusan Borneo (Sarawak)

Kadar IPG kekal RM2.50 sekilogram: Shamsul

-

KUALA LUMPUR: Paras harga Insentif Pengeluara­n Getah (IPG) kekal RM2.50 sekilogram, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut beliau, kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga tersebut yang dilihat bakal memberi implikasi terhadap kewangan negara.

“Setakat ini kalau kerajaan hendak menaikkan kepada RM3, akan ada implikasi kewangan yang agak signifikan. Buat masa ini kita masih lagi bertahan pada RM2.50 sekilogram untuk IPG.

“Kalau dahulu RM2.20 sekilogram, dah naik 30 sen, jadi saya fikir ia satu perkembang­an yang baik kepada rakyat terutama kepada pekebun kecil,” katanya pada sesi soal jawab persidanga­n Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai keperluan kementeria­n itu untuk menyemak semula harga IPG daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3 yang dilihat mampu membantu golongan penoreh getah.

Bermula Januari tahun ini, kerajaan telah menambah baik IPG dengan menaikkan

Paras Harga Pengaktifa­n daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram bagi getah sekerap.

Dalam perkembang­an lain, Shamsul berkata kementeria­nnya kini dalam tempoh percubaan untuk menguji sistem dalam talian berkaitan tuntutan IPG oleh penoreh getah.

Sistem itu sedang dilaksanak­an di tujuh negeri dan kira-kira 24,000 pekebun kecil telah mendapat manfaat menerusi tuntutan dalam talian itu, katanya.

“Sekarang kita sedang buat ujian percubaan untuk pembayaran IPG dalam talian.

Namanya belum dikemas kini tetapi kita telah namakannya sebagai ‘e-rubber’.

“Kami beri jaminan sekiranya sistem ini berjalan lancar, kita akan laksanakan­nya di seluruh negara. Ia akan memberi kesan terus kepada pemilik dan pengusaha getah,” katanya.

Pada masa kini, penoreh getah dan pekebun kecil perlu mengisi borang tuntutan IPG dan Ketua Kampung atau pelesen peraih getah akan menghantar borang tersebut ke pejabat Lembaga Getah Malaysia yang berdekatan untuk kelulusan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia